fb fb fb fb fb

Perancis hantar 40 tan bantuan ke Gaza

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot / Foto Reuters

GAZA, 1 Ogos – Perancis melaksanakan operasi penurunan udara melibatkan 40 tan bantuan kemanusiaan ke Gaza pada Jumaat, sambil menggesa Israel membenarkan akses penuh ke wilayah itu yang semakin terjejas akibat krisis kebuluran.

Presiden Emmanuel Macron berkata tindakan itu dilakukan berikutan keadaan kecemasan yang mendesak, namun menegaskan penurunan udara sahaja tidak mencukupi dan Israel perlu membuka laluan bantuan secara menyeluruh.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot memaklumkan, empat penerbangan membawa bantuan telah dihantar dari Jordan ke Gaza.

Menurut Pejabat Presiden, Perancis turut menyertai enam operasi udara anjuran Kesatuan Eropah sejak Oktober 2023, dengan lebih 60 penerbangan menghantar 3,350 tan bantuan.

Bagaimanapun, sebahagian bantuan masih belum memasuki Gaza kerana ketiadaan persetujuan daripada pihak berkuasa Israel.

Pada 29 Julai, pemantau kelaparan global memberi amaran bahawa Gaza kini berada dalam fasa kebuluran, dengan peningkatan kes kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun serta akses bantuan yang sangat terhad. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN