fb fb fb fb fb

Afrika Selatan kutuk serangan Israel, desak keadilan untuk Palestin

Foto Reuters

CAPE TOWN, 1 Ogos – Ratusan rakyat Afrika Selatan turun ke jalan di Cape Town pada Jumaat dalam satu demonstrasi besar-besaran bagi mengecam tindakan ketenteraan Israel di Gaza serta menuduh Barat bersubahat dalam krisis kemanusiaan yang berlaku.

Tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh Kempen Solidariti Palestin itu menyaksikan para penunjuk perasaan membawa sepanduk dengan slogan seperti “Tidak Lagi untuk Sesiapa”, “Hentikan Pembunuhan Beramai-ramai”, dan “Gaza Sedang Kelaparan”.

Ada juga yang memetik kenyataan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, sebagai menyokong sekatan Israel dengan sepanduk berbunyi “Keir Starmer kata Israel berhak memutuskan bekalan air.”

“Kami menyuarakan bahawa semua rakyat Palestin, sama ada yang berada dalam diaspora mahupun pelarian, mesti dibenarkan kembali ke tanah air mereka dengan pampasan,” kata penyelaras program, Usuf Chikte, sambil mengibarkan bendera Palestin.

Chikte turut mengkritik cadangan antarabangsa berkaitan penubuhan negara Palestin yang menurutnya bersifat bersyarat dan tidak memberi penyelesaian sebenar kepada isu pendudukan.

Dalam ucapan yang penuh semangat, beliau juga menegaskan perjuangan rakyat Palestin tidak akan selesai tanpa keadilan dan pengiktirafan hak untuk kembali ke tanah air.

Afrika Selatan, yang secara konsisten lantang mengkritik tindakan Israel, sekali lagi mengulangi gesaan agar gencatan senjata segera dilaksanakan serta akses kemanusiaan penuh diberikan ke Gaza, yang kini berada di ambang kebuluran akibat konflik berpanjangan. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN