fb fb fb fb fb

PM Thailand menentang penggunaan ganja rekreasi

(Srettha Thavisin/AFP)

BANGKOK, 15 September- Penggunaan ganja secara rekreasi ditentang oleh Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin walaupun tumbuhan itu ketika ini tersedia secara meluas di negara terbabit selepas penyahkriminalisasian ganja, tahun lepas.

Beliau menegaskan bahawa penyahkriminalisasian itu seharusnya hanya membenarkan penggunaan perubatan dan barangan pengguna.

"Saya tidak menyokong penggunaan ganja secara rekreasi. Hanya penggunaannya untuk tujuan perubatan (disokong).

"Jika masalah ini merebak dalam masyarakat, ia mungkin menyebabkan masalah dadah narkotik yang lebih meluas," katanya dalam sebuah wawancara dengan media tempatan, The Standard.

Terdahulu, Srettha juga menyuarakan bantahannya terhadap penggunaan rekreasi dadah semasa kempen pilihan rayanya.

Thailand mengeluarkan tumbuhan ganja daripada senarai narkotiknya pada Jun 2022 ketika di bawah pemerintahan kerajaan terdahulu.

Ia pertama kali diluluskan dalam sejarah negara itu yang terkenal dengan undang-undang dadah yang keras, sekali gus telah mendorong ratusan dispensari ganja wujud di ibu kota Bangkok hingga mencetuskan kemarahan pengkritik, serta gesaan terhadap keperluan untuk undang-undang lebih ketat.

Penyahkriminalisasian ganja "disebut-sebut" sebagai langkah menguntungkan bagi ekonomi pelancongan yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Tahun lalu, Universiti Dewan Perniagaan Thai meramalkan pasaran ganja dijangka bernilai $1.2 bilion menjelang 2025. -AFP

(FOTO AFP)

Media Baharu