fb fb fb fb fb

PM Jepun ulangi tekad untuk hapuskan tarif AS

Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba / REUTERS

TOKYO, 12 Mei- Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba pada Ahad menegaskan pendirian tegas Jepun untuk menghapuskan langkah tarif Amerika Syarikat (AS), termasuk ke atas kenderaan, dalam rundingan perdagangan, lapor Xinhua.

Bercakap dalam satu program di Fuji TV, Ishiba berkata Jepun melabur di AS dan mewujudkan peluang pekerjaan. “Jika industri automobil Jepun dilemahkan, kami tidak lagi mampu untuk melabur di Amerika.”

Merujuk kepada dasar AS yang menurunkan tarif kepada 10 peratus untuk sehingga 100,000 kereta yang dihasilkan di Britain setiap tahun, Ishiba mengakui ia sebagai “satu model yang boleh dipertimbangkan”, namun tetap menegaskan yang Jepun akan bertegas menuntut penghapusan tarif sepenuhnya.

Ketika ini, eksport kenderaan Jepun ke AS dikenakan tarif sebanyak 25 peratus. Pada 2024, jumlah eksport kenderaan Jepun ke Amerika mencecah 6.0261 trilion yen (kira-kira US$41 bilion), iaitu 28.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Jepun ke negara itu.

Menurut Persatuan Pengeluar Kenderaan Jepun, kira-kira 1.37 juta kenderaan dieksport ke AS pada 2024.- BERNAMA-XINHUA

MOHAMAD KHAIRIE KHALID