fb fb fb fb fb

21 orang maut dalam nahas bas di Sri Lanka

Bas yang terlibat dalam kemalangan / AFP

COLOMBO 12 Mei- Sekurang-kurangnya 21 orang maut manakala 24 lagi cedera apabila sebuah bas penumpang terbabas ketika melalui kawasan berbukit di Kotmale.

Dilaporkan ketika kejadian, bas tersebut dalam perjalanan dari pekan Kataragama di selatan ke pusat bandar di Kurunegala (barat laut), yang terletak kira-kira 250 kilometer.

Menurut pihak berkuasa, bas milik kerajaan itu membawa sekitar 70 penumpang dan melebihi kapasiti sepatutnya.

Ketika melalui jalan berbukit, pemandu hilang kawalan sebelum bas tersebut mengalami kemalangan.

"Kami cuba untuk memastikan sama ada ia adalah kegagalan mekanikal ataupun pemandu tertidur ketika memandu," kata seorang pegawai polis tempatan kepada AFP.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti kerana tidak mempunyai kuasa untuk bercakap dengan media.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Prasanna Gunasena berkata mangsa yang cedera dikejarkan ke dua hospital berdekatan.

"21 orang meninggal dunia. Mangsa sedang dikenalpasti," kata Gunasena yang menolak kemungkinan bahawa jumlah korban adalah lebih tinggi.

Dalam pada itu, seorang mangsa yang terselamat memaklumkan ketika kejadian dia berada di bahagian hadapan bas dan bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan ringan.

"Bas itu condong ke sebelah kiri ketika ia berada di selekoh. Pemandu hilang kawalan,” kata lelaki tersebut. -AFP

MOHAMAD KHAIRIE KHALID