fb fb fb fb fb

PM Jepun tiba ke Malaysia bagi lawatan kerja dua hari

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida tiba bagi lawatan kerja dua hari/FOTO BERNAMA

SEPANG, 4 November - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida tiba di Malaysia hari ini, bagi lawatan kerja selama dua hari.

Pesawat khas yang membawa Kishida dan delegasinya selamat mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 7.35 malam.

Ketibaan Kishida disambut Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko.

Kishida kemudiannya melintasi barisan Kawalan Kehormatan Setempat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Kapten Amirul Akmal Osman. 

Menurut Wisma Putra, Kishida dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok. 

Kedua-dua pemimpin dijangka akan menilai kemajuan hubungan dua hala, terutama kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, alam sekitar dan keselamatan tenaga serta informasi dan komunikasi. 

Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk konflik Palestin-Israel.

Lawatan kerja ini dijangka akan memperkukuhkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin di antara kedua-dua negara bertepatan dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Persahabatan dan Kerjasama ASEAN-Jepun tahun ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD