(Salinan akhbar Evening Standard, yang memaparkan berita bahawa Perdana Menteri Britain Boris Johnson
telah meletak jawatan sebagai ketua Parti Konservatif, diletakkan untuk diedarkan,
di tengah London pada 7 Julai 2022/AFP)
LONDON, 12 Julai- Perdana Menteri Britain yang baharu menggantikan Boris Johnson yang melepaskan jawatan itu Khamis lalu, bakal diumumkan pada 5 September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Parti Konservatif 1922, Graham Brady berkata, pihaknya yang mengadakan pemilihan Tory memutuskan bahawa calon perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 20 Ahli Parlimen ketika pencalonan dibuka pada Selasa, lapor Xinhua.
Pusingan pertama pengundian dalam kalangan Ahli Parlimen Tory akan diadakan pada Rabu, sambil menambah calon perlu memperoleh 30 undi bagi melayakkan diri ke pusingan kedua yang akan berlangsung pada Khamis.
Hanya dua calon akan ke pusingan seterusnya sebelum persidangan Parlimen ditangguhkan pada 21 Julai, katanya.
Dua calon itu kemudiannya akan melalui undi pos dalam kalangan ahli Konservatif seramai kira-kira 200,000 orang dan pemenang akan menjadi pemimpin baharu Tory, sekali gus dilantik sebagai perdana menteri baharu UK.
"Kami perlu memastikan tempoh masa yang mencukupi sebelum keputusan diumumkan pada 5 September," tambahnya.
Setakat ini, 11 calon mencalonkan diri untuk merebut jawatan pemimpin Parti Konservatif, termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa, Penny Mordaunt; Setiausaha Luar, Liz Truss; bekas Canselor Perbendaharaan, Rishi Sunak dan bekas Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid.
Kebanyakan calon berikrar mengurangkan cukai, susulan kos sara hidup yang semakin menghimpit.
(Boris Johnson melepaskan jawatan Perdana Menteri Britain Khamis lalu susulan peletakan jawatan
menteri Kabinet dan pegawai kerajaan lain sebagai protes terhadap kepimpinannya/AFP)
Johnson terpaksa melepaskan jawatannya pada Khamis susulan peletakan jawatan menteri Kabinet dan pegawai kerajaan lain sebagai protes terhadap kepemimpinannya.
Beliau akan terus berkhidmat sebagai perdana menteri sementara sehingga pemimpin Tory baharu dipilih.
Johnson, yang memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada 2019, hilang sokongan selepas terpalit pelbagai skandal, termasuk Partygate dan skandal Pincher membabitkan salah laku seksual. -BERNAMA