KAHERAH, 3 Julai - Pilihan raya presiden Tunisia dijadual berlangsung pada 6 Oktober, menurut dekri yang diterbitkan oleh pejabat presiden pada Selasa, lapor Sputnik.
"Pada 2 Julai 2024, Presiden Tunisia Kais Saied telah mengeluarkan dekri untuk mengajak pengundi menyertai pilihan raya presiden pada 6 Oktober 2024," menurut dekri itu.
Saied telah memegang jawatan itu sejak 2019 dan boleh bertanding untuk penggal kedua.
Pada 25 Julai 2021, Saied memecat kerajaan dan menggantung parlimen di tengah-tengah protes besar-besaran terhadap parlimen dan parti Islam Tunisia Ennahda yang disebabkan oleh kemerosotan keadaan hidup.
Pada Mac 2022, presiden membubarkan parlimen dengan alasan untuk "melindungi kerajaan dan institusinya."
Pilihan raya parlimen awal diadakan di Tunisia antara Disember 2022 dan Januari 2023. Peratusan keluar mengundi adalah serendah 11 peratus, dan pembangkang memboikot pilihan raya itu.
Pada Julai 2022, pembangkang juga memboikot referendum mengenai pindaan perlembagaan, di mana 94.6 peratus mengundi menyokong draf perlembagaan baharu Tunisia, dengan peratusan keluar mengundi hanya 27 peratus.
Pindaan perlembagaan memberikan ketua negara kuasa yang jauh lebih besar berbanding perlembagaan 2014.