fb fb fb fb fb

Pilihan Raya Presiden Sri Lanka diadakan pada September

Ranil Wickremesinghe/ AFP

COLOMBO, 26 Julai- Pilihan Raya Presiden Sri Lanka akan diadakan pada September sejak krisis ekonomi mencetuskan pergolakan yang meluas, kata Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu pada Jumaat.

Pilihan raya berkenaan akan menjadi ujian pertama orang ramai sejak kemuncak kemerosotan pada 2022, yang menyebabkan kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan selama berbulan-bulan di seluruh negara itu.

Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe, 75, memegang jawatan itu selepas protes jalanan memaksa pendahulunya untuk meninggalkan negara itu.

Beliau dijangka menghadapi sekurang-kurangnya dua pesaing yang berkempen menentang langkah penjimatan yang dikenakan kerajaannya untuk memenuhi pakej penyelamat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Kempen lima minggu diumumkan oleh suruhanjaya itu akan berakhir dengan undian pada 21 September depan di negara yang masih bergelut dengan pemulihan ekonomi serta rasa tidak puas hati berhubung isu kos sara hidup.

Isu ekonomi dijangka mendominasi kempen ketika negara itu bangkit daripada kemelesetan terburuk pada 2022, apabila keluaran dalam negara kasar (KDNK) menyusut sebanyak 7.8 peratus.

Bagaimanapun inflasi kembali ke paras normal daripada paras tertinggi iaitu 70 peratus pada kemuncak krisis.

Wickremesinghe juga berjaya merundingkan penstrukturan semula hutang asing Sri Lanka bernilai $46 bilion dengan pemberi pinjaman dua hala termasuk China, berikutan kemungkiran kerajaan pada 2022.

Tetapi dasar beliau untuk mengimbangi buku kerajaan dengan menaikkan cukai dan menarik balik subsidi utiliti tidak disenangi penduduk negara itu.

Walaupun kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan pada kemuncak krisis ekonomi, namun rakyat Sri Lanka berpendapat langkah penjimatan yang dikenakan Wickremesinghe menyebabkan mereka bergelut untuk menampung kehidupan.

Parti pembangkang berjanji untuk merundingkan semula syarat-syarat penyelamatan IMF bernilai $2.9 bilion yang dirundingkan oleh Wickremesinghe tahun lalu.

Pencabar utama presiden setakat ini ialah Sajith Premadasa, 57, rakan sekutu parti dan ketua pembangkang semasa.

Premadasa telah berjanji untuk meneruskan pembaharuan ekonomi dan program IMF tetapi berjanji untuk melindungi orang ramai dengan mengurangkan kenaikan cukai yang dikenakan Wickremesinghe untuk meningkatkan pendapatan negeri.

Sebuah parti berhaluan kiri juga meletakkan ketuanya iaitu bekas Menteri Pertanian Anura Kumara Dissanayake, 55, yang berkempen menentang rancangan untuk menswastakan syarikat negeri

Wickremesinghe mengambil alih jawatan sebagai presiden pada 2022, selepas orang ramai menyerbu pekarangan Gotabaya Rajapaksa.

Rajapaksa, dituduh salah urus ekonomi Sri Lanka dan melarikan diri ke luar negara dan meletakkan jawatannya dari Singapura.

Pilihan raya tempatan sepatutnya diadakan tahun lepas tetapi ditangguhkan selepas kerajaan menegaskan ia tidak mempunyai wang untuk menjalankan pengundian di seluruh negara.

Lebih 17 juta rakyat Sri Lanka berumur 18 tahun ke atas layak untuk mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya memperuntukkan $33 juta untuk pemilihan presiden tahun ini.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI