fb fb fb fb fb

Wartawan Australia lancar mogok

Foto hiasan

MELBOURNE, 26 Julai- Wartawan di beberapa akhbar terbesar Australia melancarkan mogok lima hari pada Jumaat, menjelang upacara pembukaan Olimpik Paris 2024 kerana pertikaian gaji.

Tindakan mogok itu melanda Sydney Morning Herald, The Age dan Australian Financial Review, dalam tindakan penentangan industri berikutan sektor berita Australia dilihat sebagai bermasalah selama bertahun-tahun.

Dianggarkan beratus-ratus wartawan bawah Nine Entertainment meninggalkan bilik berita di bandar-bandar utama Sydney, Melbourne, Brisbane dan Perth.

Beberapa penulis sukan yang dihantar ke Paris untuk Olimpik Paris 2024 juga akan mogok, walaupun syarikat Nine membayar AS$200 juta sebagai sebahagian daripada perjanjian pakej untuk mendapatkan hak penyiaran.

"Orang ramai di Australia bergantung kepada wartawan untuk mendapatkan berita, tetapi mereka (wartawan) tidak boleh melakukan tugasan tanpa jaminan pekerjaan," kata wakil kesatuan sekerja Michelle Rae.

Wartawan berpiket di luar bilik berita The Age di Melbourne, membawa sepanduk dan memakai baju berwarna putih dengan cetakan, "Jangan cabar wartawan."

Walaupun pertikaian itu terikat dengan rundingan gaji, ketegangan telah meningkat selepas pengurusan baru-baru ini mendedahkan rancangan untuk mengurangkan sebanyak 90 pekerjaan akhbar di seluruh syarikat.

"Adalah tidak boleh diterima sama sekali bahawa syarikat meminta pekerja membuat pilihan antara kenaikan gaji sederhana dan kemungkinan lebih banyak pengurangan pekerjaan," kata Rae, sambil menambah bahawa kakitangan hanya memohon "kenaikan gaji sederhana" sejajar dengan inflasi.

Seperti kebanyakan bilik berita di seluruh dunia, kejatuhan hasil cetakan dan peningkatan media sosial mencetuskan pemberhentian kerja dalam sektor itu di seluruh Australia.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI