DOUALA, 29 September- Kempen pilihan raya presiden Cameroon bermula hujung minggu ini dengan penyokong Presiden Paul Biya menonjolkan pengalaman beliau manakala pencabarnya, Cabral Libii, menarik sokongan orang ramai yang menuntut perubahan selepas lebih empat dekad pemerintahan Biya.
Di bandar Buea, wilayah barat daya pada Sabtu, anggota parti pemerintah berhimpun dalam satu perhimpunan di mana Datuk Bandar David Mafany menegaskan Biya masih pilihan terbaik meskipun berdepan cabaran keselamatan.
“Kami tidak mahu pemimpin yang terburu-buru. Kami percaya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin negara pada waktu ini,” katanya kepada penyokong.
Sementara itu, di Douala pada Ahad, penyokong Libii mengibarkan sepanduk dan menari sambil meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tempoh pemerintahan Biya.
“Rejim sekarang sudah tidak mampu lagi. Kita perlukan golongan muda untuk membawa perubahan,” kata seorang penyokong yang tidak mahu berkongsi identitinya.
“Selama 43 tahun, kami sudah agak letih. Kami perlukan perubahan," jelas seorang lagi penyokong, Claire Akonda kepada Reuters.
Libii, 45 tahun, tampil menyanyi dan melambai kepada penyokong yang bersorak, sambil memperkenalkan dirinya sebagai alternatif generasi muda kepada Biya, 91, yang telah memegang kuasa sejak 1982. -REUTERS