fb fb fb fb fb

Pilihan raya Iran: Enam calon bakal tandingi Presiden

Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf pada sidang media selepas mendaftar pencalonannya/Foto REUTERS

TEHRAN, 10 Jun-Iran pada Ahad mengumumkan enam calon bakal bertanding pada pilihan raya negara berkenaan yang bakal diadakan pada 28 Jun depan bagi menggantikan bekas Presiden, Ebrahim Raisi yang terbunuh dalam nahas helikopter bulan lalu.

Senarai calon bertanding diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri yang dipilih daripada 80 pencalonan sebelum diluluskan oleh Majlis Penjaga yang memantau perjalanan pilihan raya negara tersebut.

Antara calon yang mendapat kelulusan bagi bertanding ialah speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf dan bekas perunding nuklear, Saeed Jalili. kedua-dua individu berkenaan merupakan calon konservatif.

Hanya seorang sahaja calon reformis tercalon iaitu Massoud Pezeshkian yang merupakan penggubal undang-undang mewakili parlimen Tabriz.

Pezeshkian 69 tahun, sebelum ini dikenali kerana kelantangannya mengkritik kerajaan khususnya ketika berlakunya protes di seluruh negara pada September 2022 akibat kematian Mahsa Amini dalam tahanan polis ketika itu.

Sementara itu, hasrat bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad bagi bertanding gagal selepas namanya tidak disenaraikan.

Ini merupakan kali ketiga Ahmadinejad tidak layak bertanding bagi jawatan Presiden selepas dinafikan pada 2017 dan 2021.

Selain Ahmadinejad, terdapat beberapa tokoh yang turut dilarang bertanding iaitu bekas speaker Parlimen Iran, Ali Larijani dan bekas Komander Penjaga Revolusi Iran, Vahid Haghanian.

Pilihan raya Presiden kali ini mencatatkan sejarah apabila terdapat empat wanita yang mendaftarkan pencalonan namun ditolak oleh Majlis penjaga.

Mengikut undang-undang pilihan raya Iran, kempen bagi setiap calon bertanding sepatutnya bermula pada Ahad sehingga 24 jam sebelum pengundian.

Pilihan raya Presiden Iran dijadualkan berlangsung pada 2025 namun dipercepatkn susulan kematian Raisi pada 19 Mei lepas.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD