BAITULMAQDIS, 6 Mei - Pihak berkuasa Israel menyerbu bilik hotel di Baitulmaqdis yang digunakan oleh Al Jazeera sebagai pejabatnya selepas kerajaan memutuskan untuk menutup operasi stesen televisyen tempatan milik Qatar itu pada Ahad, kata sumber Al Jazeera kepada Reuters.
Video yang diedarkan dalam talian menunjukkan pegawai berpakaian biasa membongkar peralatan kamera di bilik hotel.
Kabinet Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menutup rangkaian itu selagi perang di Gaza berterusan dengan menyatakan ia mengancam keselamatan negara.
Al Jazeera berkata, langkah itu adalah "tindakan jenayah" dan tuduhan bahawa rangkaian itu mengancam keselamatan Israel adalah "pembohongan berbahaya dan tidak masuk akal" yang meletakkan wartawannya dalam risiko.
Ia mempunyai hak untuk "mendapatkan pembelaan menerusi perundangan".
Rangkaian yang dibiayai oleh kerajaan Qatar itu sering mengkritik operasi ketenteraan Israel di Gaza, sepanjang perang Israel-Palestin berlangsung.
Penyedia satelit dan televisyen kabel Israel menggantung siaran Al Jazeera berikutan keputusan kerajaan.
“Rangkaian Media Al Jazeera mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan jenayah ini yang melanggar hak asasi manusia dan hak asasi untuk mengakses maklumat,” kata rangkaian itu dalam satu kenyataan. “Al Jazeera menegaskan haknya untuk terus menyediakan berita dan maklumat kepada khalayak globalnya.”
Sementara itu, Pejabat Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) turut mengkritik penutupan tersebut.
“Kami kesal dengan keputusan kabinet untuk menutup Al Jazeera,” katanya di X. “Media bebas dan kebebasan adalah penting untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban. Kini, sekatan lebih besar dilakukan terhadap laporan dari Gaza. Kebebasan bersuara adalah hak asasi manusia. Kami menggesa kerajaan untuk membatalkan larangan itu."-REUTERS