SYDNEY, 6 Mei- Syarikat penerbangan Australia, Qantas bersetuju membayar denda sebanyak AS$66 juta pada Isnin selepas dituduh terlibat dalam skandal "penerbangan hantu".
Qantas mengakui bahawa pihaknya telah mengelirukan pengguna dengan mengiklankan tempat duduk dalam puluhan ribu penerbangan, walaupun penerbangan itu telah dibatalkan.
Qantas juga akan memberikan pampasan AS$13 juta kepada 86,000 pelancong yang terjejas akibat pembatalan dan kegagalan penjadualan semula.
"Tindakan Qantas adalah buruk dan tidak boleh diterima. Ramai pengguna akan membuat rancangan percutian, perniagaan dan perjalanan selepas menempah 'penerbangan hantu' yang telah dibatalkan," kata pengerusi Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia, Gina Cass-Gottlieb.
Semantara itu, Ketua Eksekutif Qantas, Vanessa Hudson berkata syarikatnya itu telah mengecewakan pelanggan selain memburukkan imej penerbangan.
"Kami tahu ramai pelanggan kami terjejas akibat kegagalan kami memberikan pemberitahuan pembatalan tepat pada masanya dan kami amat memohon maaf," katanya dalam satu kenyataan.
Denda membabitkan AS$66 juta (AUS$100 juta) itu adalah tertakluk kepada kelulusan mahkamah.
Syarikat penerbangan nasional, Qantas atau terdahulu dikenali sebagai "Spirit of Australia" berusia 103 tahun, telah menjalankan misi untuk membaiki reputasinya.
Antara cabaran yang dihadapi, tindak balas pengguna akibat harga tiket yang melambung tinggi, mutu perkhidmatan yang sering dipertikai selain isu pemecatan 1,700 kakitangan darat semasa pandemik COVID-19.
Qantas mencatatkan keuntungan tahunan sebanyak AS$1.1 bilion tahun lepas, menghadkan pemulihan kewangan yang besar selepas kesan daripada pandemik yang merencatkan laluan penerbangan.- AFP