fb fb fb fb fb

Pihak berkuasa buka pusat perhimpunan keluarga mangsa tragedi tembakan rambang di California

CALIFORNIA, 23 Januari- Pihak berkuasa California membuka pusat perhimpunan keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tembakan rambang sehingga mengorbankan 10 orang di Monterey Park pada Sabtu.

Timbalan Syerif Daerah Los Angeles, Miguel Meza berkata, ia bertujuan memberi bantuan dan sokongan kepada keluarga mangsa terlibat.

Jelas beliau, sukarelawan dan petugas profesional turut ditempatkan di pusat tersebut bagi memberi kaunseling dan perkhidmatan lain yang diperlukan.

"Kemudahan di sini disediakan oleh pelbagai pihak termasuk Jabatan Kesihatan Mental, Pasukan Krisis FBI dan Pasukan Tindak Balas Datuk Bandar Los Angeles, bersama pasukan Palang Merah.

Mereka menyediakan perkhidmatan berbeza seperti kaunseling, menyediakan makanan dan apa-apa jenis keperluan lain yang diperlukan keluarga," katanya.

(Miguel Meza, Timbalan Syerif Daerah Los Angeles / Foto REUTERS)

Tragedi berlaku semasa sambutan Tahun Baharu Cina di dalam sebuah dewan apabila seorang lelaki melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai.

Selain 10 orang yang maut, insiden turut menyebabkan sekurang-kurangnya 10 lagi mangsa cedera.

Monterey Park terletak kira-kira 11 kilometer dari pusat bandar Los Angeles.

Menurut data banci Amerika Syarikat (AS), dua pertiga penduduk di kawasan itu terdiri daripada masyarakat Asia.

Tembakan rambang di Montery Park antara insiden terburuk direkodkan di AS selepas seorang lelaki bersenjata membunuh 19 pelajar dan dua guru di sebuah sekolah di Uvalde, Texas pada Mei tahun lalu.-REUTERS

Media Baharu