MONTPELLIER, 28 Januari- Petani di Perancis kekal meneruskan protes besar-besaran pada Sabtu selepas enggan bersetuju terhadap tawaran kewangan yang diberi kerajaan.
Perdana Menteri Perancis, Gabriel Attal sebelum ini telah membatalkan rancangan pengurangan subsidi negara ke atas diesel pertanian secara beransur-ansur.
Selain itu, pihaknya turut mengumumkan langkah lain, dengan tujuan mengurangkan tekanan kewangan dan pentadbiran yang dihadapi oleh ramai petani.
Bagaimanapun, kesatuan petani terbesar di Perancis, FNSEA, menolak tawaran berkenaan susulan tidak mencapai tuntutan gaji yang lebih baik dan peningkatan taraf hidup.
Kumpulan itu berkata bantahan akan diteruskan termasuk melaksanakan sekatan jalan raya serta di jalan-jalan utama.
"Langkah-langkah yang diumumkan oleh Attal tidak mencukupi, ia tidak akan membantu aliran tunai kami," kata petani, Natacha Guillemet kepada BFM TV.
Pada Jumaat, penunjuk perasaan menyalakan unggun api di hadapan bandar selatan Wilayah Montpellier, susulan protes di seluruh negara.
Penunjuk perasaan juga mengadakan perarakan senyap di bandar Beauvais, utara Perancis untuk memberi penghormatan kepada petani yang telah meninggal dunia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan beberapa telah membunuh diri kerana tekanan kerja.
Perancis merupakan pengeluar pertanian terbesar Kesatuan Eropah dan bantahan petani Perancis mengikuti tindakan serupa di negara Eropah lain seperti Jerman dan Poland, dengan ramai penunjuk perasaan mengatakan mereka sedang dilanda globalisasi dan persaingan asing.- REUTERS