COLOMBO, 27 Jun – Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk menggesa agar gencatan senjata segera dilaksanakan di Gaza susulan 598 kematian dilaporkan baru-baru ini.
Beliau turut menggesa usaha menyeluruh untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke wilayah itu serta pembebasan tebusan.
"Sehingga 25 Jun lalu, 598 kematian telah dilaporkan akibat cubaan orang awam mendapatkan bantuan kemanusiaan di Gaza, khususnya di pusat pengagihan yang disediakan di wilayah itu.
"Saya perlu tegaskan, amat memilukan apabila individu yang memerlukan bantuan terpaksa mempertaruhkan nyawa hanya untuk mendapatkan makanan atau bantuan asas.
"Lebih menyedihkan apabila bantuan kemanusiaan kini dikawal secara ketenteraan – ini bukan penyelesaian. Apa yang kita perlukan ialah gencatan senjata, pembebasan tebusan, usaha menyeluruh menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza," katanya.
Beliau menyuarakan gesaan itu ketika lawatannya ke Sri Lanka, Khamis lalu.
Dua pegawai Israel kononnya menuduh kumpulan Hamas merampas bantuan yang sepatutnya diagihkan kepada orang awam.
Ini susulan tular sebuah video menunjukkan sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata menaiki lori bantuan.
Hamas menafikan tuduhan tidak berasas Israel berhubung insiden tersebut.
Bagaimanapun, bantuan masih dibenarkan masuk dari Selatan Gaza. - REUTERS