WASHINGTON, 27 Jun – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sekali lagi menggesa Kongres agar segera meluluskan rang undang-undang cukai dan perbelanjaan yang masih tertangguh susulan pertikaian dalam kalangan ahli Senat Republikan.
Trump berkata kegagalan rang undang-undang itu diluluskan bakal menyebabkan kenaikan cukai sebanyak 68 peratus.
“Kita akan hentikan kenaikan cukai terbesar dalam sejarah. Jika rang undang-undang ini gagal, cukai akan naik sebanyak 68 peratus. Fikirkan, 68 peratus – ia kenaikan paling besar dalam sejarah, lebih 40 mata daripada rekod sedia ada,” katanya ketika berucap di White House semalam.
Trump turut mengkritik Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell yang didakwanya lambat bertindak menurunkan kadar faedah walaupun inflasi telah menunjukkan penurunan.
Parti Republikan yang menguasai kedua-dua dewan Kongres ketika ini berdepan perpecahan dalam kalangan ahli sendiri berhubung rang undang-undang tersebut.
Perbezaan pandangan timbul apabila sebahagian anggota yang cenderung kepada dasar fiskal ketat mahukan pemotongan ketara terhadap program sosial termasuk Medicaid.
Manakala kumpulan lain bimbang langkah itu boleh menjejaskan peluang mereka dalam Pilihan Raya Kongres 2026.
Rang undang-undang berkenaan masih belum dimuktamadkan dijangka melanjutkan pemotongan cukai yang dilaksanakan sejak 2017.
Ini sekali gus meningkatkan peruntukan kepada keselamatan sempadan dan ketenteraan, serta menambah hutang negara sebanyak AS$3 trilion kepada jumlah keseluruhan AS$36.2 trilion. - REUTERS