fb fb fb fb fb

Pesawat Rusia mendarat cemas di Bangkok

(Kiri) Pesawat Aeroflot Boeing 777 berlepas dari Pulau Phuket sebelum melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, malam tadi (kanan)/Reuters

BANGKOK, 11 Februari- Sebuah pesawat Rusia yang dalam perjalanan ke Moscow terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, di sini, malam tadi.

Pesawat Aeroflot Boeing 777 itu berlepas dari Pulau Phuket pada pukul 4.35 petang waktu tempatan sebelum berlegar beberapa kali di ruang udara Laut Andaman bagi membuang bahan api sebelum menukar haluan ke Bangkok bagi prosedur kecemasan.

Rekod penerbangan menunjukkan beberapa pesawat lain yang menghampiri lapangan terbang telah diarahkan ke landasan lain bagi memberi laluan kepada pesawat itu.

Ia akhirnya mendarat dengan selamat pada 9.15 malam.

Kebiasaannya, penerbangan dari Phuket ke Bangkok mengambil masa sekitar 90 minit, namun pesawat Aeroflot tersebut berada di udara hampir lima jam.

Punca kejadian masih belum didedahkan oleh pihak berkuasa. -Reuters

SITI AISHAH MD ISA