fb fb fb fb fb

Pesawat buatan India terhempas pada Pameran Udara Dubai

Pesawat pejuang Tejas buatan India terhempas semasa pertunjukan Pameran Udara Dubai 2025/ REUTERS

DUBAI, 21 November - Pesawat pejuang Tejas buatan India terhempas semasa pertunjukan Pameran Udara Dubai 2025 pada Jumaat yang telah mengorbankan juruterbangnya, menurut Tentera Udara India (IAF).

Menurut seorang saksi, pesawat tersebut sedang terbang pada altitud rendah sekitar pukul 2.15 petang waktu tempatan sebelum terhempas. Menerusi satu rakaman video dari lokasi menunjukkan asap hitam menyulubungi kawasan pesawat terhempas.

"Satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat dan mengenal pasti punca kemalangan ini," kata IAF dalam satu kenyataan.

Kemalangan itu merupakan kemalangan kedua melibatkan pesawat pejuang Tejas, yang dikuasakan enjin General Electric GE.N. Ia merupakan komponen penting dalam usaha India memodenkan armada udara negara itu yang sebahagian besarnya terdiri daripada pesawat pejuang Rusia. Kemalangan pertama berlaku semasa latihan di India pada 2024.

Kemalangan itu berlaku pada hari terakhir pameran udara, acara penerbangan terbesar di Dubai, yang bermula pada Isnin lalu.

Pesawat berkenaan terhempas kira-kira satu batu (1.6 kilometer) dari tapak pertunjukan, yang ketika itu dipenuhi pesawat, helikopter dan pelbagai aset lain dalam pameran statik.

Video yang tular di media sosial menunjukkan pesawat berkenaan menjunam ke tanah sebelum meletup sebaik terhempas. Asap tebal kelihatan berkepul dari lokasi nahas ketika kenderaan kecemasan bergegas menuju ke kawasan itu.

“Sebelum terhempas, juruterbang terbang pada altitud rendah dan melakukan aksi berisiko. Kemudian dia kelihatan cuba mengelakkan kemalangan itu, dia mula menarik pesawat ke atas, namun tidak sempat melakukannya," kata saksi dari Iraq, Hassan Loqman.

Insiden berkenaan berlaku pada awal sesi pertunjukan udara harian yang menampilkan aksi seperti barrel roll, loop dan demonstrasi akrobatik lain. Pertunjukan tersebut bagaimanapun diteruskan selepas itu.

Tejas direka dan dibina di India, mula ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Tentera Udara India pada 2016. Nahas pada Jumaat itu dipercayai merupakan insiden pertama dalam sejarah Pameran Udara Dubai sejak ia mula dianjurkan pada 1986.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI