fb fb fb fb fb

Bekalan makanan masuk ke Gaza meningkat, namun tidak mencukupi

Penduduk Gaza mendapatkan bekalan makanan/ REUTERS

KHAN YOUNIS, 21 November - Lebih banyak bekalan makanan berjaya dibawa masuk ke Gaza namun jumlah itu masih jauh daripada memenuhi keperluan besar di lapangan, terutama apabila hujan dan musim sejuk berisiko merosakkan bekalan yang ada, menurut Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) pada Jumaat (21 November).

Jurucakap WFP, Martin Penner, berkata keadaan bertambah baik berbanding sebelum gencatan senjata, namun usaha berterusan diperlukan bagi membantu keluarga memulihkan kesihatan, pemakanan dan kehidupan mereka.

"Keadaan lebih baik daripada sebelum gencatan senjata, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan. Sokongan berterusan amat penting untuk membantu penduduk di Palestin meliputi sektor kesihatan, pemakanan dan kehidupan mereka," katanya menerusi pautan video dari Gaza.

Menurut WFP, ratusan ribu penduduk memerlukan bantuan makanan. Ogos lalu, sebuah pemantau makanan global melaporkan sekurang-kurangnya 500,000 orang mengalami kebuluran di beberapa kawasan Gaza.

Awal minggu ini, wilayah berkenaan mengalami hujan lebat yang merosakkan serta menghanyutkan sebahagian bekalan makanan yang disimpan oleh penduduk, kata jurucakap kanan WFP, Abeer Etefa. Ia memberi petanda cabaran yang bakal dihadapi keluarga di Gaza apabila musim sejuk bermula.

Sejak gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 10 Oktober, WFP telah membawa masuk 40,000 tan bantuan makanan ke Gaza.

Namun setakat ini hanya 30 peratus sasaran penghantaran bantuan makanan berjaya sampai kepada kira-kira 530,000 orang daripada sasaran 1.6 juta, akibat kesukaran membawa bekalan masuk pada awal bulan. WFP bagaimanapun menjangkakan proses penghantaran akan kembali stabil.

Walaupun pasar mula kembali beroperasi, harga makanan kekal tinggi bagi penduduk Palestin, ramai antaranya kehilangan punca pendapatan sepanjang perang. Menurut WFP seekor ayam kini berharga AS$25, menyebabkan ramai keluarga bergantung sepenuhnya kepada bantuan makanan.

Seorang wanita di Khan Younis memberitahu WFP bahawa beliau tidak membawa anak-anak ke pasar agar mereka tidak melihat makanan yang dijual.

"Jika mereka menghampiri pasar, dia meminta mereka menutup mata," kata Penner.

Dalam sidang media yang sama, jurucakap UNICEF, Ricardo Pires, berkata sekurang-kurangnya 67 kanak-kanak terbunuh akibat sejak gencatan senjata bermula di Gaza.

"Puluhan lagi cedera. Itu bersamaan hampir dua kanak-kanak terbunuh setiap hari sejak gencatan senjata berkuat kuasa," katanya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI