RAMALLAH, 21 November - Dua remaja Palestin yang ditembak tentera rejim Zionis Israel di Ramallah dikebumikan pada Jumaat.
Menurut penduduk tempatan, kedua-dua remaja itu terbunuh semasa serbuan pada waktu malam di sebuah bandar berhampiran Ramallah, ketika keganasan terus meningkat di wilayah tersebut dengan bilangan mangsa korban semakin bertambah.
Oday Al-Sharafa, rakan kepada seorang remaja Palestin yang terbunuh ditembak tentera Israel, berkata ketika kejadian tentera Israel menuju ke Kufr Aqab.
"Kami sedang melalui kawasan itu dan ternampak mereka dari jauh. Rakan kami berdiri di situ dan hanya memerhati, dia tidak membawa atau melemparkan batu.
"Seorang penembak menyasarkan rakan kami di dada. Dia meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi rakan kami di sebelahnya terkena dua tembakan di tangan," kata Oday.
Insiden itu terus mencetuskan gelombang keganasan yang semakin meningkat di Tebing Barat, sekali gus mengakibatkan rakyat Palestin terus terdedah kepada serangan tentera Israel dan sekatan ketat pergerakan.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin tentera menembak Sami Ibrahim Mashaikha, 16, dan Amr Khaled Al-Marboua, 18, di Kfar Aqab, dan kedua-duanya meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Walaupun gencatan senjata 10 Oktober lalu telah menghentikan sebahagian besar perang di Gaza antara Israel dan pejuang Hamas, Tebing Barat kini menyaksikan peningkatan keganasan.
Sebelum ini rakyat Palestin turut dikenakan sekatan ketat termasuk sekatan kebebasan bergerak selain terus diserang tentera Israel.- REUTERS