fb fb fb fb fb

Perubahan iklim cetus kebakaran hutan Chile

Rumah terbakar akibat kebakaran hutan di Vina del Mar, Chile/REUTERS

SANTIAGO, 7 Februari- Penduduk yang terselamat dalam kebakaran hutan yang dahsyat di Chile baru-baru ini diibaratkan sebagai mimpi ngeri. Seluruh bukit dijilat api dalam beberapa saat.

Walaupun wilayah itu menghadapi kebakaran hutan hampir setiap tahun, namun kelajuan dan kematian akibat kebakaran pada minggu lepas tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sekurang-kurangnya 131 orang terbunuh dan ratusan lagi masih hilang dalam bencana alam terburuk di Chile dalam beberapa tahun itu.

Para saintis berkata faktor pendorong utama untuk kejadian dahsyat itu adalah mudah; suhu yang lebih panas.

Sebahagian daripada sebab kebakaran hutan merebak setakat begitu cepat adalah disebabkan angin kencang.

Pakar Klimatologi di Universiti Santiago Raul Cordero berkata, angin musim panas adalah perkara biasa di tengah Chile kerana udara yang turun dari banjaran gunung Andes dan kawasan tinggi lain termampat dan menjadi panas.

"Apa yang berbeza kali ini ialah suhunya jauh lebih tinggi berbanding sebelumnya," kata Cordero. Beliau berkata wilayah itu sedang mengalami gelombang haba yang mungkin disebabkan oleh perubahan iklim dan fenomena El Nino, apabila suhu air panas luar biasa di luar pantai Pasifik Amerika Selatan menjejaskan corak cuaca global.

"Apa yang berlaku minggu lepas bukan perkara biasa," katanya.

Selain daripada gelombang haba yang membawa suhu panas ke negara Andes, Chile juga telah mengalami kemarau yang dahsyat sejak 15 tahun lalu. Ia juga menjadi faktor menyemarakkan kebakaran hutan.

"Kemarau menjadikan tumbuh-tumbuhan ini cepat kering dan kehilangan kandungan airnya," kata Pakar Air di Universiti Chile Cesar Morales. "Jadi sangat mudah untuk terbakar disebabkan suhu tinggi."

Fenomena serupa turut berlaku di seluruh Andes di Argentina, tetapi merentasi ruang yang lebih besar dengan kepadatan penduduk yang lebih rendah, tambah Morales.

Minggu lalu Taman Negara Nahuel Huapi di wilayah Patagonia, Argentina, terbakar dan beribu-ribu hektar kawasan terjejas.

Di Brazil, kebakaran hutan meningkat di negeri Amazonas, di tengah-tengah hutan hujan Amazon, pada Oktober berikutan perubahan iklim.

Saintis berkata, cuaca ekstrem dan perubahan iklim bertambah buruk akan kerap berlaku . Ia menjadikan kejadian maut seperti kebakaran minggu lalu akan kelihatan normal.

"Tanpa El Nino atau pemanasan global, tidak mungkin kita akan mengalami kebakaran hutan yang dahsyat minggu lalu," kata Cordero.-REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI