SYDNEY, 15 September- Lebih sejuta warga Australia akan terjejas susulan kenaikan paras laut dan banjir yang disebabkan oleh perubahan iklim menjelang 2050, manakala kematian akibat penyakit berkaitan haba akan meningkat.
Menteri Iklim Chris Bowen berkata, penilaian risiko iklim negara mendapati peningkatan suhu akan memberi kesan "melata dan serentak" ke atas kehidupan 27 juta rakyat Australia.
"Kami menghadapi perubahan iklim sekarang. Ia bukan lagi ramalan atau unjuran tapi ia adalah realiti langsung, dan sudah terlambat untuk mengelakkan sebarang kesan," tegasnya.
Laporan itu, disediakan secara bebas untuk kerajaan, mendapati 1.5 juta orang yang tinggal di kawasan pantai akan menghadapi risiko kenaikan paras laut dan banjir pantai menjelang 2050.
Jumlah itu akan meningkat kepada kira-kira tiga juta menjelang 2090.
Kenaikan paras laut menimbulkan ancaman besar kepada kediaman, mata pencarian dan hubungan budaya terutama di lokasi seperti Kepulauan Selat Torres.
Menurut laporan, kerugian dalam nilai hartanah Australia dianggarkan meningkat kepada Aus$611 bilion (AS$406 bilion) menjelang 2050 dan boleh meningkat kepada $770 bilion menjelang 2090.
Sekiranya suhu meningkat sebanyak 3 celsius, kematian berkaitan haba boleh melonjak lebih 400 peratus di bandar Sydney yang paling ramai penduduk di negara itu
Ketua Eksekutif NGO Majlis Iklim, Amanda McKenzie menyifatkan laporan itu sebagai "mengerikan". -AFP