WASHINGTON, 21 Januari- Presiden Donald Trump sekali lagi menarik Amerika Syarikat keluar daripada Perjanjian Iklim Paris pada Isnin, sekali gus mengeluarkan negara itu yang dikenali sebagai pengeluar gas karbon terbesar dalam sejarah daripada usaha global memerangi perubahan iklim untuk kali kedua dalam tempoh sedekad.
Ia mencerminkan sikap skeptikal Trump terhadap pemanasan global, yang pernah disebutnya sebagai "tipu helah," sejajar dengan agendanya yang lebih luas untuk membebaskan syarikat minyak dan gas Amerika daripada peraturan supaya dapat memaksimumkan pengeluaran.
Trump menandatangani perintah eksekutif untuk menarik diri daripada pakatan itu di hadapan para penyokong yang berkumpul di Capital One Arena di Washington.
"Saya segera menarik diri daripada perjanjian Paris yang berat sebelah dan tidak adil," katanya sebelum menandatangani perintah tersebut.
"Amerika Syarikat tidak akan mensabotaj industri kita sendiri sementara China mencemarkan alam sekitar dengan bebas," kata Trump.
Sementara itu,Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, yakin bahawa bandar, negeri, dan perniagaan di Amerika Syarikat akan terus menunjukkan visi dan kepimpinan dengan bekerja ke arah pertumbuhan ekonomi yang rendah karbon dan berdaya tahan yang akan mewujudkan pekerjaan berkualiti," kata jurucakap PBB, Florencia Soto Nino, dalam satu kenyataan.
"Adalah penting Amerika Syarikat kekal sebagai peneraju dalam isu alam sekitar," katanya.
"Usaha kolektif di bawah Perjanjian Paris telah memberi impak, tetapi kita perlu bergerak lebih jauh dan lebih cepat bersama-sama", maklum kenyataan itu lagi.
Amerika Syarikat perlu memaklumkan secara rasmi kepada Setiausaha Agung PBB mengenai penarikan dirinya, yang mengikut syarat perjanjian akan berkuat kuasa dalam tempoh satu tahun.-AFP.