SANTA CRUZ, 15 Mei – Kejatuhan bongkah ais setinggi 70 meter dari muka Glasier Perito Moreno ke dalam Tasik Argentina terus menarik perhatian pelancong, namun kebelakangan ini fenomena tersebut turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar.
Pakar menyifatkan proses calving (tertanggalnya bongkah ais) berskala besar seperti yang berlaku sejak empat hingga enam tahun lalu sebagai luar biasa, berbanding tempoh 20 tahun sebelumnya.
Menurut ahli glasiologi CONICET, Lucas Ruiz, glasier yang selama 80 tahun kekal stabil kini mula menunjukkan tanda kemunduran sejak 2020.
Kajian beliau menunjukkan glasier itu kini kehilangan antara satu hingga dua meter air bersamaan setiap tahun, dengan kadar kehilangan jisim paling tinggi dicatat sejak 2015.
Laporan kerajaan Argentina 2024 yang dibentangkan ke Kongres menyatakan Glasier Perito Moreno mengalami purata penyusutan sebanyak 0.85 meter setahun dalam tempoh sembilan tahun kebelakangan ini.
Peningkatan suhu udara sekitar 0.06°C setiap dekad serta penurunan taburan hujan didapati mempercepat pencairan ais, sekali gus mengganggu keseimbangan antara pengumpulan ais di puncak dan kehilangan di dasar.
Meskipun masih menjadi destinasi pelancongan utama, para saintis memberi amaran bahawa perubahan iklim kini semakin jelas mempengaruhi kestabilan glasier yang suatu ketika dahulu dianggap “kebal” terhadap pemanasan global.-REUTERS