fb fb fb fb fb

China dakwa AS salah guna kawalan eksport sekatan cip AI Huawei

Foto Hiasan / Reuters

BEIJING, 15 Mei – China mendakwa Amerika Syarikat (AS) menyalahgunakan langkah kawalan eksport dan menggesa Washington supaya segera membetulkan amalan tersebut, susulan pengeluaran panduan baharu oleh pihak berkuasa AS yang melarang penggunaan cip kecerdasan buatan (AI) Ascend keluaran syarikat teknologi gergasi, Huawei.

Jurucakap Kementerian Perdagangan China, He Yongqian dalam satu sidang media menyifatkan tindakan tersebut sebagai ancaman kepada kestabilan rantaian bekalan semikonduktor global.

Beliau menegaskan, China akan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi hak dan kepentingan sah perusahaan negaranya.

“Langkah Amerika Syarikat ini jelas menunjukkan penyalahgunaan kawalan eksport dan mencabuli prinsip perdagangan bebas serta peraturan pasaran antarabangsa,” katanya.

Biro Keselamatan Industri di bawah Jabatan Perdagangan AS pada Selasa mengeluarkan panduan amaran kepada syarikat-syarikat global bahawa penggunaan cip AI Ascend keluaran Huawei boleh membawa kepada pelanggaran kawalan eksport Amerika.

Siri cip AI tersebut merupakan antara yang paling canggih dibangunkan oleh Huawei dan digunakan secara meluas dalam sektor teknologi tinggi.

Huawei kini dilihat sebagai pesaing utama kepada syarikat cip AI Amerika Syarikat, Nvidia, dalam perebutan pasaran semikonduktor berprestasi tinggi di China.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN