fb fb fb fb fb

Laut Baltik berisiko alami peningkatan ketegangan serius

Perdana Menteri Lithuania, Gintautas Paluckas / Foto Reuters

VILNIUS, 15 Mei - Perdana Menteri Lithuania, Gintautas Paluckas memberi amaran kebarangkalian berlakunya peningkatan aktiviti ketenteraan di Laut Baltik susulan insiden membabitkan sebuah kapal tangki minyak Rusia dan jet pejuang Moscow.

Insiden bermula apabila Estonia cuba menahan kapal tangki Jaguar yang sedang menuju ke Rusia. Kapal tersebut disenaraikan di bawah sekatan Britain dan didakwa berlayar secara haram tanpa bendera.

Namun, selepas enggan bekerjasama, kapal itu dikatakan diiringi ke perairan Rusia oleh Tentera Laut Estonia.

Menurut Paluckas, tindakan Rusia menghantar jet pejuang sebagai respons menunjukkan niat negara itu untuk mempertahankan laluan eksport minyak mereka. Jet tersebut didakwa telah menceroboh ruang udara NATO selama hampir satu minit.

“Kejadian ini menunjukkan peningkatan risiko insiden yang boleh mencetuskan ketegangan di rantau ini,” kata beliau.

Menteri Luar Estonia, Margus Tsahkna turut mengesahkan kehadiran jet pejuang Rusia yang muncul sejurus komunikasi dibuat dengan kapal Jaguar. Beliau turut menyeru sekatan lebih tegas dikenakan terhadap Rusia.

Kapal Jaguar dikenali sebagai sebahagian daripada “armada bayangan” Rusia, rangkaian kapal yang dituduh negara Barat digunakan untuk mengelak sekatan antarabangsa, tanpa pengawasan atau insurans Barat.

Jet NATO dari misi pemantauan di rantau Baltik telah dikerah untuk menyiasat keadaan. Britain pula menyatakan sekatan ke atas armada bayangan bertujuan menyekat kemampuan ketenteraan Presiden Vladimir Putin.

Insiden berlaku berhampiran Pulau Naissaar, berdekatan Tallinn, pada petang Selasa. Kementerian Pertahanan Estonia enggan mengulas lanjut manakala Rusia pula belum memberikan sebarang kenyataan rasmi.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN