LOS ANGELES, 11 Jun - Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass mengumumkan perintah berkurung di beberapa kawasan di pusat bandar raya itu susulan ketegangan protes imigran yang semakin memuncak.
Beliau berkata, perintah berkurung itu dilaksanakan pada pukul 8 malam sehingga 6 pagi waktu tempatan berkuatkuasa semalam.
“Banyak perniagaan dan premis terjejas akibat protes yang berlaku. Semalam, sebanyak 23 premis perniagaan dirompak. Kejadian grafiti juga menyebabkan kawasan sekitar menjadi ‘kotor dan menakutkan’, sekali gus menjejaskan perniagaan dan infrastruktur.
“Jadi, jika anda tidak tinggal di pusat bandar LA, elakkan berkunjung ke kawasan itu,” katanya dalam kenyataan.
Protes mula memuncak selepas Presiden Donald Trump melancarkan usaha agresif mengusir pendatang yang menetap secara haram di negara itu.
Demonstrasi besar itu setakat ini menyebabkan besar kerosakan harta benda, premis kediaman dan perniagaan akibat dibakar perusuh.
Jabatan Polis Los Angeles pula memaklumkan, lima anggotanya cedera dalam pergelutan dengan penunjuk perasaan.
Protes tercetus pada Jumaat lalu selepas ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) melakukan serbuan di beberapa premis perniagaan tempatan dan menahan ratusan individu tanpa dokumen.
Pentadbiran Trump menyatakan operasi ICE akan diteruskan sebagai sebahagian daripada tindakan keras kerajaan terhadap pendatang tanpa izin. - AFP