UKRAINE, 11 Jun - Serangan dron Rusia di bandar kedua terbesar di Ukraine, Kharkiv menyebabkan dua maut dan mencederakan 38 orang, termasuk lima kanak-kanak.
Serangan 17 dron terbabit menyebabkan kebakaran di 15 unit bangunan pangsapuri lima tingkat dan beberapa kerosakan lain di bandar berhampiran sempadan Rusia itu.
Menurut Datuk Bandar Kharkiv, Ihor Terekhov, serangan menyasarkan premis perniagaan, bangunan kediaman, taman permainan dan pengangkutan awam.
Pasukan penyelamat kini berusaha menyelamatkan puluhan mangsa yang terperangkap dalam bangunan rosak dan runtuh akibat serangan berkenaan.
Pasukan bomba pula giat memadamkan kebakaran bangunan perniagaan dan kediaman yang terjejas.
Insiden berkenaan adalah susulan dua serangan besar Rusia ke atas Ukraine minggu ini sebagai tindak balas terhadap serangan Kyiv sebelum ini.
Kedua-dua pihak bertelagah bagaimanapun terus menafikan serangan menyasarkan orang awam biarpun ribuan korban konflik adalah orang awam yang majoritinya rakyat Ukraine. - REUTERS