LONDON, 11 Jun - Amerika Syarikat dan China telah mencapai kata sepakat berhubung rangka kerja berhubung sekatan eksport ke atas mineral nadir bumi.
Ia konsensus di hari akhir rundingan intensif peringkat tinggi antara Amerika Syarikat dengan China yang berlangsung dua hari di London.
Bercakap kepada wartawan, Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Howard Lutnick berkata, rangka kerja tersebut memberi 'sokongan tambahan terhadap perjanjian yang dicapai bulan lalu di Geneva.
Perjanjian tersebut melibatkan usaha melonggarkan tarif balas yang terbantut akibat sekatan eksport mineral kritikal oleh China.
Selain itu, menghapuskan sebahagian daripada sekatan eksport Amerika Syarikat yang diperkenalkan baru-baru ini.
“Kami telah mencapai satu rangka kerja untuk melaksanakan perjanjian Geneva dan seruan antara kedua-dua presiden.
“Ideanya adalah kami akan pulang ke Washington dan berbincang dengan Presiden Trump untuk memastikan beliau meluluskannya. Mereka pula akan pulang ke China dan berbincang dengan Presiden Xi dan memastikan beliau meluluskannya.
"Dan, jika kedua-duanya bersetuju, kami akan melaksanakan rangka kerja itu,” katanya.
Dalam satu taklimat berasingan, Timbalan Menteri Perdagangan China, Li Chenggang berkata, bahawa satu rangka kerja perdagangan telah dicapai dan akan disampaikan kepada pemimpin Amerika Syarikat dan China. - AFP