fb fb fb fb fb

1.3 juta penduduk Haiti dipindah akibat keganasan - PBB

PBB dedahkan hampir 1.3 penduduk Haiti dipindahkan akibat keganasan./AFP

GENEVA, 11 Jun - Jumlah orang yang dipindahkan secara dalaman akibat keganasan di Haiti mencapai rekod tertinggi iaitu hampir 1.3 juta orang.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan, angka itu meningjkat 24 peratus sejak Disember 2024 seterusnya direkodkan sebagai jumlah tertinggi orang yang dipindahkan akibat keganasan yang pernah direkodkan di negara itu.

Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) PBB, Amy Pope dalam satu kenyataan berkata, sebahagian besar individu terlibat dikenal pasti terpaksa melarikan diri dari kediaman mereka secara berulang kali, sehelai sepinggang dan kini hidup melarat serta tidak selamat.

"Ibu kota Haiti, Port-au-Prince kekal sebagai pusat krisis namun trend keganasan telah merebak keluar bandar termasuk yang terbaharu di daerah Artibonite yang memaksa puluhan ribu penduduknya melarikan diri dan berlindung di tempat perlindungan sementara.

"Keganasan di Petite Riviere sahaja telah memaksa ribuan lagi keluar dari rumah mereka, menjadikan jumlah orang yang dipindahkan di kawasan itu melebihi 92,000 orang," katanya.

Menurutnya lagi, walaupun hampir seperempat daripada semua orang yang dipindahkan secara dalaman tinggal di Port au Prince, jumlah yang melarikan diri ke bahagian lain di negara itu untuk mencari keselamatan juga semakin meningkat.

"Di Utara, jumlah orang yang terpaksa meninggalkan rumah mereka telah meningkat hampir 80 peratus," katanya.

Haiti antara negara termiskin dunia yang dihimpit ketidakstabilan politik telah lama menderita akibat keganasan kumpulan jenayah melibatkan kes pembunuhan, pemerkosaan, rompakan dan penculikan. - AFP

KHAIRUL AMRI BIN YASIN