fb fb fb fb fb

31 terbunuh, 200 rakyat Gaza cedera ketika menunggu bantuan makanan

Foto Fail/ AFP

GAZA, 11 Jun- Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan 31 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam insiden serangan tentera Israel ke atas orang awam yang sedang menunggu untuk memasuki pusat agihan makanan, pada Rabu.

Menurut jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal, insiden berlaku apabila kereta kebal dan dron Israel melepaskan tembakan ke arah ribuan rakyat Palestin yang berkumpul untuk mendapatkan bantuan makanan dari sebuah pusat bantuan.

“Kami telah membawa sekurang-kurangnya 31 jenazah dan kira-kira 200 yang cedera akibat tembakan kereta kebal dan dron Israel ke atas ribuan warga... yang sedang dalam perjalanan untuk menerima makanan dari pusat bantuan Amerika,” kata Mahmud Bassal kepada AFP.

Bagaimanapun, tentera Israel masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung perkara itu.

Menurut Mahmud Bassal, ribuan rakyat Palestin berkumpul sejak 2.00 pagi (2300 GMT Selasa) dengan harapan untuk mendapatkan bekalan makanan daripada pusat agihan.

“Kereta kebal Israel melepaskan beberapa das tembakan, dan sekitar pukul 5:30 pagi, tembakan menjadi semakin hebat. Ia turut disertai serangan berat daripada dron yang menyasarkan orang awam,” katanya.

Insiden ini merupakan satu daripada beberapa kejadian tembakan maut sejak Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) membuka pusat agihan bantuan di wilayah Palestin pada 27 Mei lalu. Israel kini berdepan tekanan antarabangsa yang semakin memuncak susulan keadaan kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza.-AFP

ROSLINA BINTI DIN