fb fb fb fb fb

Perintah berkurung di Lima tamat

(FOTO AFP)

LIMA, 6 April- Presiden Peru, Pedro Castillo pada hari Selasa mengumumkan penamatan perintah berkurung di ibu negara Lima bertujuan untuk membendung bantahan terhadap kenaikan harga bahan api berikutan perbincangan krisis dengan Kongres.

"Kami menghapuskan perintah berkurung ini berkuat kuasa serta-merta. Kami menyeru rakyat Peru supaya bertenang," kata pemimpin berhaluan kiri itu, bersama presiden Kongres Maria del Carmen Alva.

Polis dan tentera membuat rondaan di jalan raya yang sebahagian besarnya kosong di ibu negara pada awal Selasa selepas Castillo mengumumkan perintah berkurung sejurus sebelum tengah malam Isnin untuk Lima dan bandar pelabuhan berdekatan, Callao.

Ia dijangka berlangsung sehingga tengah malam pada hari Selasa ketika pihak berkuasa cuba menyekat bantahan terhadap kenaikan harga bahan api dan tol di tengah-tengah kesukaran ekonomi yang semakin meningkat.

Namun, berita mengenai penamatan perintah berkurung disambut dengan sorakan oleh ratusan penunjuk perasaan di luar Kongres dan di bahagian lain di ibu negara, kata wartawan AFP.

Kedai dan sekolah ditutup dan perkhidmatan bas kebanyakannya digantung tetapi ramai pekerja, di hotel atau hospital misalnya, tidak mengendahkan penutupan itu, sekali gus mengundang kritikan meluas di media sosial.

Tindakan itu mengejutkan ramai pihak di Lima, memandangkan protes paling ganas sejak kebelakangan ini berlaku jauh dari ibu negara.

Ramai yang tiada pilihan selain menaiki teksi atau berjalan kaki ke tempat kerja.

Sesetengah pelancong mengalami kesukaran mencari makanan, dengan restoran dan pasar raya ditutup, tetapi penerbangan domestik dan antarabangsa diteruskan seperti biasa dari lapangan terbang Jorge Chavez, kata syarikat konsesinya.

Penduduk di beberapa kawasan kejiranan Lima memukul periuk dan kuali di tingkap mereka sebagai protes terhadap penutupan pada tengah hari.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu