fb fb fb fb fb

Perintah berkurung COVID-19 tingkat penggunaan ganja

(Kebenaran penggunaan kanabis dan perintah berkurung COVID-19 menyebabkan berlaku peningkatan penggunaan
bahan itu secara tetap di beberapa kawasan, termasuk negeri di AS yang membenarkannya/REUTERS)

VIENNA, 27 Jun- Kebenaran penggunaan ganja dan perintah berkurung COVID-19 menyebabkan berlaku peningkatan penggunaan bahan itu secara tetap di beberapa kawasan, termasuk negeri di Amerika Syarikat (AS) yang membenarkan pemgambilannya.

Keadaan itu sekali gus meningkatkan risiko kemurungan dan bunuh diri, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ganja menjadi dadah paling meluas digunakan di seluruh dunia sejak sekian lama dan penggunaannya semakin meningkat, manakala bahan itu dalam pasaran semakin 'kuat' dari segi kandungan tetrahidrokanabinol (THC), kata Pejabat Dadah dan Jenayah PBB (UNODC) menerusi Laporan Dadah Dunia yang diterbitkan setiap tahun.

Beberapa negeri di AS membenarkan penggunaan ganja bukan perubatan, bermula di Washington dan Colorado pada 2012.

Uruguay membenarkannya pada 2013, manakala Kanada pada 2018.

"Kebenaran penggunaan ganja mempercepatkan peningkatan trend penggunaan harian dadah itu yang dilaporkan," kata laporan UNODC yang berpusat di Vienna.

Jelasnya, walaupun jumlah remaja yang menggunakan ganja tidak banyak berubah, terdapat peningkatan ketara bagi kekerapan penggunaan produk ganja yang amat kuat dalam kalangan remaja.

"Jumlah individu mengalami gangguan psikiatrik dan bunuh diri yang berkait dengan penggunaan ganja secara tetap turut meningkat," katanya.

(Seorang wanita dengan daun ganja yang dilukis di mukanya mengambil bahagian dalam
perarakan untuk ganja, memihak kepada penyahkriminalisasian ganja, di Sao Paulo, Brazil 11 Jun 2022/REUTERS)


Menurut laporan itu, kira-kira 284 juta individu atau 5.6 peratus daripada populasi dunia menggunakan dadah seperti heroin, kokain, amphetamine atau ekstasi sepanjang 2020 dengan 209 juta daripadanya menggunakan ganja.

"Tempoh perintah berkurung ketika pandemik COVID-19 mendorong peningkatan penggunaan ganja pada 2020," katanya.

Laporan sama memaklumkan, pengeluaran kokain mencatat rekod tertinggi pada 2020 dan pengedaran menerusi laut meningkat dengan data penangkapan tahun lalu menunjukkan pengembangan di luar dua pasaran utama, iaitu Amerika Utara dan Eropah memasuki Afrika dan Asia.

Opioid pula kekal sebagai dadah paling berbahaya dengan fentanyl menyebabkan peningkatan kematian akibat terlebih dos di AS ke tahap tertinggi dengan anggaran kes pada 2021 sebanyak 107,622. - REUTERS

Berita berkaitan
Perang Ukraine lonjak pengeluaran dadah - PBB

 

Media Baharu