fb fb fb fb fb

Macau mula ujian COVID-19 pusingan ketiga susulan peningkatan jangkitan

(Dua pusingan ujian Covid telah dijalankan di Macau pada minggu lalu/REUTERS)

HONG KONG, 27 Jun- Macau melancarkan pusingan ketiga ujian mandatori COVID-19 kepada lebih 600,000 penduduknya dalam usaha mengekang peningkatan jangkitan itu di hab perjudian terbesar dunia berkenaan.

Pihak berkuasa Macau menutup beberapa bangunan dengan menempatkan lebih 5,000 orang untuk menjalani kuarantin dalam tempoh beberapa hari lalu, kata kerajaan bandar itu.

Pihak berkuasa kesihatan berkata, sejumlah 38 kes baharu COVID-19 direkodkan semalam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 299 dalam wabak terkini.

Dua pusingan ujian COVID-19 dijalankan di Macau pada minggu lalu dengan pusingan terbaru dijangka akan tamat esok.

Pihak berkuasa meminta orang ramai supaya kekal tinggal di rumah selama mungkin dengan kebanyakan bandar ditutup, termasuk bar, salun rambut dan taman rekreasi awam.

Hanya pembelian bawa pulang dibenarkan di kedai makan.

Kasino, walaupun kebanyakannya lengang dibenarkan untuk terus beroperasi, kata pihak kerajaan sebagai langkah untuk melindungi pekerja tempatan.

Langkah ketat berkenaan dibuat selepas wilayah pentadbiran khas China, sebahagian besarnya bebas COVID-19 sejak penularan wabak pada Oktober 2021.\


(Orang ramai beratur untuk ujian COVID-19 di Macau, China, 20 Jun 2022/REUTERS)


Macau mematuhi dasar sifar COVID-19 China yang bertujuan untuk membasmi semua wabak dalam apa jua kos, bertentangan dengan trend global yang cuba hidup bersama wabak itu.

Kes di Macau masih jauh di bawah jangkitan harian di tempat lain, termasuk negara jiran Hong Kong di mana kes melonjak kepada hampir 2,000 sehari pada bulan ini.

Wabak di Hong Kong pada tahun ini menyaksikan lebih sejuta jangkitan disahkan dengan lebih 9,000 kematian direkodkan. -REUTERS

Berita berkaitan
Ujian COVID-19 besar-besaran: Macau tutup kebanyakan perniagaan, kasino dibuka

 

Media Baharu