Washington, 11 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Washington untuk lawatan kerja empat hari sempena Sidang Kemuncak Khas Amerika Syarikat-Asean, termasuk pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan tujuh pemimpin ASEAN.
Ketibaan Perdana Menteri pada 8.16 malam (8.16 pagi waktu Malaysia) di Pangkalan Tentera Joint Base Andrews di Maryland disambut oleh Penasihat Kanan kepada Ketua Protokol Amerika Syarikat Asel Roberts dan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Brian McFeeters.
(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri disambut baik oleh Ketua Protokol Amerika Syarikat Asel Roberts dan Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Brian McFeeters)
Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddib Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.
Presiden Biden akan menganjurkan majlis makan malam untuk pemimpin ASEAN di White House pada Khamis waktu tempatan.
Ini akan diikuti dengan beberapa siri perbincangan di Jabatan Negara Amerika Syarikat pada hari berikutnya.
Sidang kemuncak khas berkenaan seiring ulang tahun ke-45 hubungan dialog Asean dan Amerika Syarikat.
Ia merupakan kali kedua dianjurkan oleh presiden negara itu selepas Barack Obama pada Februari 2016.
Ismail Sabri bersama pemimpin ASEAN juga akan menyertai perbincangan dengan naib presiden Harris di Jabatan Negara pada hari Jumaat (Sabtu di Malaysia).
Perdana Menteri juga akan bertemu Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo dan Wakil Perdagangan AS, Katherine Tai di sini pada Khamis (Jumaat di Malaysia).
Ismail Sabri juga dijadualkan bertemu ketua-ketua industri Amerika serta Majlis Perniagaan dan Dewan Perniagaan AS-ASEAN di sini pada Khamis.
Beliau juga akan mengambil peluang bertemu diaspora Malaysia semasa majlis Hari Raya Aidilfitri Keluarga Malaysia di sini pada Rabu (Khamis di Malaysia).