fb fb fb fb fb

WHO kaji kaitan antara COVID-19 dengan hepatitis misteri babitkan kanak-kanak

GENEVA, 11 Mei - 348 kes 'berkemungkinan hepatitis yang tidak diketahui asalnya' telah dikenal pasti.

Perkembangan itu dilaporkan ketika lebih banyak kajian dibuat mengenai potensi peranan adenovirus dan jangkitan COVID-19.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), keutamaan bagaimanapun masih diberi kepada hipotesis yang melibatkan adenovirus.

Kes seumpamanya telah dilaporkan di 20 negara, dengan 70 kes tambahan dari 13 negara lagi yang sedang menunggu klasifikasi sementara menunggu dapatan ujian.

Hanya enam negara melaporkan lebih daripada lima kes, dengan lebih daripada 160 dilaporkan di Britain.

(WHO pertama kali dimaklumkan pada 5 April daripada 10 kes hepatitis yang tidak dapat dijelaskan di Scotland, dikesan pada kanak-kanak di bawah umur 10 tahun/REUTERS)

"Sepanjang minggu lepas, terdapat beberapa kemajuan penting dalam penyiasatan lanjut dan beberapa hipotesis," kata Philippa Easterbrook, daripada program hepatitis global WHO, dalam sidang media di sini.

Beliau berkata Britain telah menyelaraskan satu set kajian komprehensif melihat genetik kanak-kanak yang terjejas, tindak balas imun mereka, virus dan kajian epidemiologi lanjut.

WHO pertama pada 5 April menerima laporan tentang 10 kes hepatitis yang tidak dapat dijelaskan di Scotland, yang dikesan pada kanak-kanak bawah umur 10 tahun.

"Pada masa ini, hipotesis utama kekal yang melibatkan adenovirus - dan masih menjadi pertimbangan penting tentang peranan COVID juga, sama ada sebagai jangkitan bersama atau jangkitan masa lalu," kata Easterbrook.

Ujian lanjut pada minggu lalu mengesahkan bahawa kira-kira 70% daripada kes diuji positif untuk adenovirus, dengan subjenis 41, biasanya dikaitkan dengan gastroenteritis; subjenis yang lazim, tambahnya.

Ujian juga menunjukkan bahawa sekitar 18 peratus kes secara aktif diuji positif untuk COVID-19.

"Tumpuan besar pada minggu depan adalah melihat ujian serologi untuk pendedahan dan jangkitan COVID sebelum ini," kata Easterbrook. -AFP

Media Baharu