MOSCOW, 17 Jun- Perbicaraan kes wartawan Wall Street Journal yang ditahan di Rusia, Evan Gershkovich, atas tuduhan mengintip untuk Agensi Perisikan Pusat (CIA), akan diadakan secara tertutup.
Gershkovich, 32, telah ditahan oleh Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) pada 29 Mac 2023, di sebuah restoran di bandar Urals Yekaterinburg, 1,400 km timur Moscow.
Tangkapan itu sekali gus menyaksikan Gershkovich muncul sebagai wartawan Amerika pertama yang ditahan atas tuduhan pengintip di Rusia sejak Perang Dingin lebih tiga dekad lalu.
Gershkovich bagaimanapun telah berulang kali menafikan tuduhan yang dikenakan terhadapnya itu.
FSB, pengganti utama KGB era Soviet, menerusi satu kenyataan memaklumkan Gershkovich cuba mengumpul rahsia mengenai Uralvagonzavod, syarikat pertahanan Rusia yang merupakan salah satu pengeluar kereta kebal tempur terbesar di dunia, untuk CIA.
"Proses itu akan berlaku secara tertutup," kata Mahkamah Wilayah Sverdlovsk di Yekaterinburg.
"Menurut pihak berkuasa penyiasatan, wartawan The Wall Street Journal, Gershkovich, atas arahan CIA, pada Mac 2023, mengumpul maklumat rahsia di wilayah Sverdlovsk mengenai aktiviti perusahaan pertahanan JSC NPK Uralvagonzavod untuk pengeluaran dan pembaikan peralatan tentera," katanya.
Perbicaraan pertama dijadualkan pada 26 Jun, kata mahkamah.
White House menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak masuk akal dan Presiden Joe Biden berkata penahanan Gershkovich adalah sama sekali tidak sah.-REUTERS