fb fb fb fb fb

Cuaca panas: Arab Saudi keluar nasihat selepas rekod kematian jemaah haji

Pasukan penyelamat membawa jemaah haji yang rebah akibat cuaca panas terik semalam/AFP

MINA, 17 Jun- Arab Saudi hari ini mengeluarkan nasihat berhubung peningkatan suhu di Mekah selepas lebih 12 jemaah haji meninggal dunia disebabkan penyakit berkaitan haba.

Kementerian Kesihatan negara itu merekodkan lebih 2,700 kes keletihan haba semalam.

"Tanah Suci hari ini mencatatkan suhu tertinggi sejak awal musim haji dengan kemungkinan mencecah 49 darjah Celsius. Kami menasihat tetamu Allah supaya tidak terdedah kepada matahari," menurut kementerian itu menerusi saluran Al-Ekhbariya.

Semalam, Kementerian Luar Jordan melaporkan seramai 14 jemaah haji negaranya meninggal dunia selepas mengalami "sengatan" matahari yang melampau.

Iran pula melaporkan kematian lima jemaah haji tetapi tidak menyatakan puncanya, manakala Kementerian Luar Senegal memaklumkan tiga yang lain telah meninggal dunia.

"Pencegahan adalah yang paling penting... begitu juga komitmen jemaah haji untuk tidak keluar pada waktu puncak kecuali apabila perlu, atau menggunakan payung, akan mengurangkan kejadian keletihan haba.

"Garis panduan kesihatan kami untuk hari-hari mendatang adalah jelas dan mudah: bawa payung, minum air dengan kerap dan elakkan pendedahan kepada matahari," menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Arab Saudi. -AFP

SITI AISHAH MD ISA