LONDON, 2 Disember - Perbicaraan menggunakan juri bagi sesetengah kes akan dimansuhkan dan “mahkamah segera” akan diwujudkan di England dan Wales, umum Setiausaha Kehakiman David Lammy, lapor PA Media/dpa.
Pada masa ini, hanya tiga peratus melibatkan perbicaraan juri, namun angka ini akan dikurangkan lagi apabila Lammy mengesahkan yang perbicaraan sedemikian hanya akan dikhaskan untuk kes “indictable-only” seperti pembunuhan dan rogol, serta kes “either-way” tertentu yang dijangka membawa hukuman melebihi tiga tahun penjara.
Lammy, yang juga Timbalan Perdana Menteri, memberitahu ahli parlimen yang pembaharuan “sangat diperlukan” ketika mangsa berdepan “kelewatan yang menyeksakan” dalam sistem, dengan tunggakan mahkamah Crown dijangka mencecah 100,000 kes menjelang 2028.
“Saya yakin yang perbicaraan juri akan kekal sebagai tunjang sistem bagi kes paling serius,” katanya.
“Kita juga harus jujur yang masalah ini memakan masa bertahun-tahun untuk terbentuk dan memerlukan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan. Perubahan yang saya cadangkan memerlukan pindaan undang-undang dan masa untuk dilaksanakan. Pelaburan kita juga memerlukan masa sebelum memberikan kesan.”
Cadangan untuk memansuhkan lebih banyak perbicaraan juri menerima tentangan daripada ahli parlimen dan pengamal undang-undang yang bimbang mengenai isu keadilan, sekatan hak serta kurangnya bukti yang langkah ini akan membantu mengurangkan tunggakan kes.
Bertindak balas terhadap pengumuman itu, Persatuan Undang-Undang England dan Wales memberi amaran yang cadangan itu “melangkaui batas dengan menghakis hak asas untuk diadili oleh juri rakan sebaya”.
Naib presidennya Brett Dixon berkata “membenarkan seorang hakim tunggal dalam sistem yang kekurangan sumber untuk memutuskan bersalah atau tidak dalam kes serius yang boleh mengubah kehidupan adalah penyimpangan besar daripada nilai bersama kita.”
Tunggakan mahkamah Crown kini pada paras tertinggi melebihi 78,000 kes dan ada perbicaraan yang dijadualkan sehingga 2030.
Pada masa ini, defendan bagi kes “either-way” boleh memilih untuk dibicarakan di mahkamah majistret atau mahkamah Crown, yang membolehkan perbicaraan dengan juri.
Namun di bawah pelan yang diumumkan pada Selasa, defendan tidak lagi dibenarkan memilih pilihan itu.
Lammy berkata “hakim terkemuka kita harus mendengar kes paling serius dan saya bersetuju yang mereka dan majistret harus menentukan kes yang harus dibicarakan.
“Ini akan menghalang defendan daripada memanipulasi sistem dengan memilih mahkamah yang mereka fikir lebih menguntungkan, sekali gus melengahkan proses dan mengharapkan mangsa berputus asa.”
Defendan yang berdepan kemungkinan hukuman tiga tahun atau kurang seperti memiliki anjing berbahaya, ugutan bunuh dan pecah rumah akan dibicarakan oleh seorang hakim tunggal dalam Bahagian Baharu Mahkamah Crown (CCBD).
Kuasa majistret akan ditingkatkan untuk membolehkan mereka menjatuhkan hukuman sehingga 18 bulan penjara, berbanding 12 bulan ketika ini, bagi membolehkan mereka menangani lebih banyak kes “either-way”. Kuasa ini juga boleh dipanjangkan kepada 24 bulan jika perlu.
Pemodelan oleh Kementerian Kehakiman menunjukkan sekitar 75 peratus kes yang dihantar ke mahkamah Crown untuk perbicaraan masih akan dibicarakan oleh juri selepas pembaharuan ini.
Daripada tiga peratus kes yang kini dibicarakan dengan juri, hanya satu peratus dijangka dipindahkan ke mahkamah majistret, 0.5 peratus ke CCBD dan 1.5 peratus kekal sebagai perbicaraan juri.
Pembaharuan ini dibuat sebagai tindak balas kepada cadangan Brian Leveson pada Julai untuk menambah baik sistem mahkamah.
Dalam semakannya, bekas hakim kanan itu mendapati yang “tiada hak perlembagaan atau undang-undang lazim”, termasuk dalam undang-undang hak asasi Eropah, yang menjamin hak defendan untuk dibicarakan oleh juri. Oleh itu, tiada keperluan untuk mengehadkan pembaharuan.
Leveson berkata pembaharuan perbicaraan juri adalah “wajar” bagi menangani masalah, khususnya dalam kes perbicaraan yang panjang atau kompleks.
“Reformasi akan meningkatkan kecekapan dengan mengurangkan jumlah kes terbuka serta menjimatkan kos,” katanya.
Kerajaan UK turut akan memperkenalkan perbicaraan tanpa juri untuk kes penipuan kompleks.
Mengulas rancangan kerajaan, Leveson berkata bukti menunjukkan yang menambah jumlah hari mahkamah bersidang dan meningkatkan kecekapan tidak mencukupi untuk menyelamatkan sistem, sambil menegaskan bahawa tiada penyelesaian mudah.
Setiausaha Kehakiman Bayangan Robert Jenrick, pula menyifatkan cadangan itu sebagai “permulaan kepada penghujung perbicaraan juri”.
Ketua Eksekutif Persatuan Majistret Tom Franklin berkata peningkatan kuasa majistret adalah “undi keyakinan yang besar” namun menegaskan yang mahkamah memerlukan lebih banyak sumber termasuk penasihat undang-undang yang terlatih dan dibayar dengan baik serta pembaikan bangunan mahkamah yang semakin uzur.
Badan bebas itu turut menegaskan agar mahkamah segera baharu melibatkan dua majistret bersama seorang hakim untuk menjatuhkan hukuman, seperti cadangan asal Leveson, supaya “rakyat biasa” terlibat dalam keputusan dan hukuman.
Difahamkan menteri membuat keputusan berbeza daripada cadangan Leveson untuk menempatkan seorang hakim dan dua majistret dalam CCBD atas alasan praktikal memandangkan peningkatan pertambahan kes di mahkamah majistret akibat pembaharuan itu.- BERNAMA-PA MEDIA/dpa