fb fb fb fb fb

Kes Demam Babi Afrika di Sepanyol meningkat

Amaran berkenaan "Zon Pengawasan Demam Babi Afrika" yang dipasang pada tiang di pintu masuk taman Collserola, Barcelona/ AFP

BARCELONA, 3 Disember - Sepanyol mengesan tujuh lagi babi hutan mati akibat jangkitan Demam Babi Afrika (ASF) berhampiran Barcelona, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan kes kepada sembilan, menurut Kementerian Pertanian pada Selasa.

Penemuan dua kes pada minggu lalu di Taman Semula Jadi Collserola, yang merupakan kes pertama di Sepanyol sejak 1994, menimbulkan kebimbangan terhadap industri eksport daging babi negara itu.

Lebih 100 anggota unit kecemasan tentera, pegawai wilayah Catalonia dan pakar Kesatuan Eropah digerakkan bagi mengesan kes baharu dan mengekang penularan penyakit tersebut, yang tidak berbahaya kepada manusia, tetapi membawa kesan buruk kepada populasi babi.

Menurut kementerian itu, ujian makmal mengesahkan tujuh babi hutan yang ditemui mati di Cerdanyola del Valles dijangkiti ASF dan lokasi penemuannya berada sangat dekat dengan lokasi dua kes pertama.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan ke atas ladang babi dalam radius 20 kilometer tidak menunjukkan sebarang tanda jangkitan berkaitan penyakit tersebut.

Pasukan Kecemasan Veterinar Suruhanjaya Eropah turut menyertai operasi pada Selasa bagi menilai langkah yang dilaksanakan dan mengemukakan cadangan untuk mengawal penyakit itu secepat mungkin. menurut kementerian.

Sebarang penularan ke ladang ternakan boleh memberi kesan serius kepada pengeluar daging babi ketiga terbesar dunia itu.

Sepanyol mengeksport hampir tiga juta tan produk babi setiap tahun ke lebih 100 negara.

Menteri Pertanian, Luis Planas, memaklumkan bahawa satu pertiga negara telah menghentikan import sebagai langkah keselamatan.

Planas turut mengalu-alukan keputusan China sebagai pasaran eksport terbesar Sepanyol untuk terus menerima import dari kawasan di luar wilayah Barcelona.

Demam Babi Afrika direkodkan di negara Baltik dan Eropah Timur, selepas ia merebak dari Rusia pada 2014.- AFP

ROSLINA BINTI DIN