WASHINGTON, 17 Disember- Konflik di wilayah Palestin telah memberi kesan kepada ekonomi tempatan serta semua sektor terjejas teruk akibat serangan Israel.
Bank Dunia melaporkan bahawa pengeluaran ekonomi di Gaza merosot sebanyak 86 peratus pada separuh pertama tahun ini, manakala di Tebing Barat, ia susut sebanyak 23 peratus.
Secara keseluruhan, ekonomi Palestin dijangka menguncup sebanyak 26 peratus selepas diselaraskan dengan kadar inflasi.
"Konflik yang berterusan di Asia Barat terus memberi kesan buruk kepada ekonomi Palestin, menjerumuskan wilayah itu ke dalam krisis yang tidak pernah terjadi sebelum ini," menurut kenyataan Bank Dunia.
"Konflik yang berlanjutan menyebabkan kemusnahan teruk dalam sektor asas dan perkhidmatan di kedua-dua Tebing Barat dan Gaza serta kemiskinan juga semakin meningkat.
Serangan Israel telah menyebabkan sekurang-kurangnya 44,976 orang terbunuh di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut angka Kementerian Kesihatan wilayah itu. Konflik turut merebak ke Tebing Barat yang sebelum ini menyumbang sebahagian besar kepada pertumbuhan ekonomi Palestin.
Dalam pada itu, inflasi di Gaza meningkat sebanyak 300 peratus dalam tempoh 12 bulan sehingga Oktober, dengan harga makanan melonjak 440 peratus, manakala harga tenaga meningkat lebih 200 peratus akibat gangguan bekalan yang kritikal.
Kira-kira 91 peratus penduduk Gaza kini berisiko menhadapi kebuluran.
Bank Dunia turut melaporkan semua struktur asas masyarakat Gaza telah musnah, termasuk rangkaian komunikasi yang hampir lumpuh sepenuhnya, walaupun terdapat usaha oleh pengendali tempatan untuk mengekalkan sambungan.-AFP