KANGVAI, 28 Julai- Lebuh raya di sepanjang satu batu di negeri Manipur, India menjadi kawasan kepada ketegangan yang telah membunuh lebih 180 orang sejak Mei dan menjejaskan imej Perdana Menteri India Narendra Modi.
Pertempuran antara komuniti Meitei dan puak Kuki di timur laut negara itu berlarutan selama hampir tiga bulan. Ia amat memalukan Modi kerana India akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak pemimpin G20 pada September dan bakal bertanding dalam pilihan raya umum tahun hadapan.
Terdapat ketegangan antara kedua-dua kumpulan sebelum ini, tetapi keganasan semakin serius pada awal Mei selepas mahkamah tinggi negeri mengarahkan kerajaan untuk mempertimbangkan lanjutan faedah ekonomi yang dikhaskan untuk puak Kuki kepada Meiteis.
Protes jalanan memuncak dan menjadi konflik bersenjata. Kubu dan pos di sepanjang lebuh raya dan di tempat lain di Manipur dibina, dan kerap berlaku tembak-menembak antara satu sama lain menggunakan senapang penembak tepat dan pistol.
Puluhan ribu orang telah meninggalkan rumah mereka kerana pertempuran itu. Perkampungan turut dibakar dan ramai wanita diserang secara seksual, kata penduduk dan laporan media. Polis negeri yang dikuasai Meitei dilihat sebagai partisan manakala tentera telah diarah untuk menjaga keselamatan dan keamanan.
Bagaimanapun tindakan itu tiada tanda sebarang penyelesaian awal.
Sejarawan dan pengarang Ramachandra Guha menyifatkan situasi itu sebagai "campuran anarki, perang saudara dan pecahan lengkap pentadbiran negeri".
"Ia adalah kegagalan perdana menteri pada ketika negara berdepan krisis yang teruk," tambah Guha, ketika bercakap dalam satu wawancara televisyen. "Narendra Modi hidup dalam dunianya sendiri dan dia tidak suka dikaitkan dengan berita buruk."
Pejabat perdana menteri dan jurucakap kerajaan negeri tidak menjawab permintaan untuk mengulas.
Kukis, merupakan satu pertiga daripada penduduk Meitei berdepan beban keganasan yang tidak seimbang. Menurut data kerajaan baharu yang disemak oleh Reuters minggu ini, dua pertiga daripadanya menjadi mangsa. Mereka kebanyakannya meninggalkan ibu kota Imphal dan sekitarnya kerana dikuasai oleh majoriti Meiteis.
Kebanyakan keganasan dan pembunuhan berlaku di berhampiran kaki bukit Manipur, kata pegawai keselamatan.
Lebuh raya daerah Bishnupur adalah salah satu zon penampan yang telah menyaksikan beberapa pertempuran paling teruk.- REUTERS
(Wanita Meitei menahan kereta bagi pemeriksaan di daerah Bishnupur/AFP)