(Antara UAP yang berjaya dirakam di beberapa lokasi/Reuters)
WASHINGTON, 28 Julai- Kerajaan Amerika Syarikat (AS) diseru supaya lebih telus mendedahkan mengenai fenomena anomali tidak dikenal pasti (UAP) atau objek terbang tidak dikenal pasti (UFO) yang didakwa pernah dilihat sebilangan individu terutama anggota tentera laut, sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dua bekas juruterbang Tentera Laut, Ryan Graves dan David Fravor serta seorang bekas pegawai perisikan, David Grusch memberi keterangan pada Rabu lalu sebagai saksi, sambil memberi amaran objek berkenaan adalah ancaman terhadap keselamatan negara.
Graves berkata pada 2014, dia dan seorang rakan yang masing-masing memandu pesawat jenis F-18 Super Hornets telah dipintas sebuah UAP berbentuk kuib gelap ketika menjalankan misi latihan di Virginia Beach.
Laporan mengenai kejadian telah dibuat tetapi sehingga sekarang tiada sebarang penjelasan rasmi dikeluarkan daripada kerajaan.
“Objek itu digambarkan sebagai kiub kelabu gelap atau hitam di dalam sfera yang jelas, berada pada jarak 50 kaki dari pesawat utama dan dianggarkan berdiameter lima hingga 15 kaki.
“Komander misi menamatkan penerbangan serta-merta dan kembali ke pangkalan. Skuadron kami menyerahkan laporan keselamatan, tetapi tiada pengakuan rasmi mengenai kejadian.
“Tidak lama kemudian, pertemuan itu menjadi begitu kerap sehingga anak kapal akan membincangkan risiko UAP sebagai sebahagian daripada taklimat sebelum penerbangan,” katanya dalam sidang media di sini.
Sementara itu, Fravor menyifatkan teknologi UAP berkenaan sangat hebat dengan ketangkasan yang luar biasa.
“Kami melihat objek seperti gula-gula tic tac (bujur) putih kecil dan bergerak dengan sangat mendadak di atas air seperti bola ping pong. Teknologi yang kami (perlu) berdepan ini adalah jauh lebih hebat daripada sebarang teknologi yang kami ada,” katanya dalam sidang media sama.
Beliau bersama tiga yang lain menyaksikan objek itu ketika mengendalikan dua buah pesawat F-18 di luar pantai San Diego.
Pada masa sama, kerajaan juga diminta untuk mengwujudkan satu mekanisme agar juruterbang boleh melaporkan kejadian sedemikian tanpa rasa terancam atau takut kehilangan pekerjaan.
“Terdapat kebimbangan bahawa stigma yang dikaitkan dengan topik ini akan membawa kepada kesan profesional, sama ada melalui pengurusan atau mungkin pemeriksaan tahunan (fizikal dan mental),” jelas Graves.
Begitu juga bagi Grusch yang menyuarakan kebimbangan sekiranya UAP tersebut ada hubung kait dengan perisikan luar angkasa.
“Tidakkah kerajaan sedar adanya bukti nyata mengenai perisikan luar angkasa? Jika ‘ya’ bilakah anda fikir ini pertama kali berlaku?" katanya.
Minggu lalu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, John Kirby berkata, UAP mempunyai kesan ke atas rangkaian latihan dan perlu dianggap sebagai isu yang sah. -Reuters
(Ryan Graves, David Grusch dan David Fravor)