ADDIS ABABA, 28 Julai- Ethiopian Airlines berjaya mengharungi pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia dengan mengubah strateginya. Syarikat itu satu-satunya penerbangan Afrika yang masih menguntungkan selain masih menghadapi "cabaran sebenar" dalam berdaya saing pada masa inflasi, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Mesfin Tasew kepada AFP.
Tahun kewangan 2022-2023 yang berakhir pada 30 Jun "adalah tahun yang sangat berjaya," kata Mesfin Tasew dalam temu bual di ibu negara Ethiopia, Addis Ababa.
"Kami membawa 13.7 juta penumpang, iaitu menyaksikan pertumbuhan sebanyak 57 peratus berbanding tahun sebelumnya dan 10 peratus lebih tinggi daripada pra COVID-19. Kami juga membawa 740,000 tan kargo, iaitu hampir dua kali ganda sebelum pandemik," katanya.
Syarikat milik kerajaan itu menjana pendapatan $6.1 bilion, meningkat 20 peratus berbanding tahun sebelumnya dan hampir 50 peratus lebih banyak daripada pendapatan sebelum COVID-19.
Syarikat penerbangan itu beralih kepada pengangkutan kargo apabila bilangan penumpang jatuh mendadak.
"Angka itu menunjukkan kami telah pulih sepenuhnya daripada kesan COVID-19," kata Mesfin, yang dilantik ke jawatan itu pada Mac 2022.
Katanya, kesan wabak itu masih boleh dirasai dalam bentuk "inflasi yang tinggi... berikutan kos operasi yang dan harga bahan api yang tinggi."
COVID-19 turut menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan global dan menyebabkan kekurangan alat ganti yang diperlukan untuk pembaikan.
"Kadang-kadang kami menghadapi kesukaran untuk menerbangkan semua kapal terbang, kami terpaksa menunggu pesawat lain mendarat untuk mendapatkan beberapa bahagian alat ganti," katanya.
Dia menjangkakan masalah itu dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun, "tetapi hari ini adalah cabaran sebenar."- AFP
(Mesfin Tasew/AFP)