fb fb fb fb fb

Perancis sedia aktifkan sekatan terhadap Iran jika rundingan gagal

Duta Perancis ke PBB, Jerame Bonnafont bercakap semasa Mesyuarat Majlis Keselamatan mengenai konflik Israel-Iran di New York. \Foto AFP

AMERIKA SYARIKAT, 25 Jun- Perancis dan rakan kongsi Eropahnya bersedia untuk mengaktifkan semula sekatan ke atas Iran jika rundingan mengenai program nuklearnya tidak dicapai, menurut Duta Perancis ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Jerome Bonnafont.

"Masanya semakin suntuk," katanya dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB, merujuk kepada tarikh luput perjanjian nuklear Iran 2015 pada Oktober ini.

Beliau menggesa Iran kembali ke meja rundingan tanpa berlengah demi mencari penyelesaian diplomatik yang lebih berkekalan.

Bonnafont menegaskan rundingan adalah satu-satunya cara untuk memastikan Iran tidak membangunkan senjata nuklear, beberapa hari selepas Amerika Syarikat melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear negara itu.

Beliau turut memberi amaran bahawa Perancis dan rakan Eropahnya (Jerman dan United Kingdom) bersedia menggunakan mekanisme sekatan semula bawah Resolusi 2231 jika tiada persetujuan dicapai menjelang musim panas ini.

Duta United Kingdom, Barbara Wood turut menyokong kenyataan itu dan berkata mereka akan menggunakan semua saluran diplomatik bagi memastikan Iran tidak memperoleh senjata nuklearnya.

Resolusi 2231 PBB menyokong perjanjian nuklear 2015 yang ditandatangani Iran bersama tiga negara Eropah, China, Rusia dan Amerika Syarikat, sebagai pertukaran kepada pengurangan sekatan.

Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian itu pada 2018 semasa di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

SITI NOORAIN ABDULLAH