SEOUL, 25 Jun - Peguam khas Korea Selatan memohon waran bagi menahan bekas Presiden Yoon Suk Yeol atas tuduhan menghalang tugas rasmi.
Permohonan difail terhadap Yoon selepas beliau berulang kali gagal mematuhi perintah hadir untuk disoal siasat berhubung pengisytiharan undang-undang tentera dibuatnya, 3 Disember tahun lalu.
“Pasukan penyiasat yang mengambil alih kes ini memutuskan untuk memohon waran tangkap bagi tujuan siasatan,” kata pasukan peguam khas itu dalam satu kenyataan.
Sebelum kes itu diserahkan kepada peguam khas, polis telah memanggil Yoon untuk disoal siasat pada 5, 12 dan 19 Jun, tetapi tidak diendahkan Yoon.
Bekas presiden itu dinamakan sebagai suspek atas tuduhan mengarahkan Perkhidmatan Keselamatan Presiden menghalang pelaksanaan waran tangkap terhadapnya oleh Pejabat Penyiasatan Rasuah bagi Pegawai Kanan (CIO), awal Januari lalu.
Peguamnya mendakwa, pelaksanaan waran tangkap oleh CIO sebagai tidak sah, yang menjadi alasan keengganannya mematuhi arahan hadir untuk disoal siasat.