fb fb fb fb fb

Perancis arah musnahkan 2 juta botol air Perrier disyaki dicemari bakteria

FOTO AFP

PARIS, 26 April- Sebanyak dua juta botol air mineral jenama popular, Perrier, yang disyaki dicemari bakteria daripada najis, dimusnahkan di bawah arahan kerajaan.

Pengumuman pemusnahan itu adalah tamparan terbaharu bagi gergasi makanan Switzerland, yang mana anak syarikat airnya di Perancis kini disiasat kerana didakwa menggunakan kaedah haram bagi membersihkan air mineral.

Pihak berkuasa kesihatan di wilayah Occitanie, selatan Perancis memberitahu syarikat air tersebut untuk memusnahkan semua pengeluaran Perrier dari 10 hingga 14 Mac lalu, dari salah satu sumbernya berhampiran Nimes, menurut dokumen Agensi Kesihatan DGS.

Syarikat sama turut memiliki jenama Vittel, Contrex dan Hepar, berkata kira-kira dua juta botol Perrier dimusnahkan sebagai langkah berjaga-jaga dan syarikat itu memberi jaminan bahawa botol air Perrier di kedai adalah selamat.

Awal bulan ini, pihak berkuasa serantau mengarahkan syarikat terbabit 'menggantung serta-merta' pengeluaran di salah satu sumbernya berhampiran Nimes. Sumber untuk jenama Vittel, Contrex dan Hepar adalah dari timur Perancis.

Perintah itu menjelaskan bahawa pencemaran najis dikesan dan didaftarkan mulai 10 Mac lalu, menyusuli tindakan Pendakwa Raya Perancis membuka siasatan mengenai kaedah penyulingan Januari lalu.

Syarikat itu mengakui bahawa ia membasmi kuman air menggunakan lampu UV, penapisan karbon dan kaedah lain yang tidak dibenarkan bagi air mineral 'semula jadi'.

DGS berkata, selepas pemeriksaan dan siasatan yang menggegarkan seluruh industri air Perancis itu, beberapa sumber air di timur dan selatan Perancis ditutup atau diklasifikasikan semula sebagai 'air yang boleh diminum selepas dirawat'.

Ketua pengarah syarikat makanan Perancis Danone, Antoine de Saint-Affrique, memaklumkan mesyuarat pemegang saham syarikat bahawa sumber air mineral semula jadi kini menghadapi pemantauan yang sangat ketat.

Pemegang saham pula menimbulkan persoalan mengenai langkah yang diambil di Danone, yang menghasilkan air mineral Evian, Volvic dan Badoit.

Saint-Affrique berkata syarikat itu bekerjasama rapat dengan petani dan industri tempatan untuk mencegah pencemaran berhampiran sumber airnya. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI