fb fb fb fb fb

Perancis akan iktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung PBB

Presiden Perancis, Emmanuel Macron itu mengumumkan perkara itu melalui satu hantaran di platform X/Foto REUTERS

PARIS, 25 Julai – Presiden Perancis, Emmanuel Macron, mengumumkan bahawa negaranya akan secara rasmi mengiktiraf negara Palestin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang akan berlangsung pada bulan September ini.

Pengumuman itu dibuat melalui satu hantaran di platform X, yang turut memuatkan surat Macron kepada Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas, mengesahkan hasrat Perancis menjadi kuasa Barat utama pertama yang mengiktiraf kedaulatan negara Palestin.

"Komitmen kami adalah terhadap keamanan yang adil dan berkekalan di Asia Barat, saya telah memutuskan bahawa Perancis akan mengiktiraf Negara Palestin.

"Saya akan membuat pengumuman rasmi ini di Perhimpunan Agung PBB pada bulan September akan datang," kata Macron.

Langkah berani Perancis dijangka memberi dorongan baharu kepada gerakan pengiktirafan Palestin yang sebelum ini banyak disokong oleh negara-negara kecil yang lebih kritikal terhadap dasar Israel.

Perancis juga merupakan negara Eropah yang mempunyai komuniti Yahudi dan Muslim terbesar.

Bagaimanapun, keputusan tersebut dijangka mencetuskan kemarahan dari Israel dan Amerika Syarikat.

Dalam satu nota diplomatik pada bulan Jun, Washington menegaskan bahawa mereka menentang sebarang tindakan unilateral untuk mengiktiraf negara Palestin. - REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI